PENGENDALI Johor Darul Ta'zim (JDT) Esteban Solari optimis skuad kendaliannya itu mampu mengejutkan gergasi Liga Jepun (J-League) Kawasaki Frontale pada aksi Kumpulan I saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim, pada Selasa.
Menurutnya, keyakinan itu adalah berdasarkan kepada persiapan rapi yang dilakukan oleh skuad Harimau Selatan itu sejak sembilan bulan lalu.
Justeru katanya, kini tiba masanya untuk pemain-pemain mempamerkan aksi terbaik mereka dan seterusnya memastikan kejayaan pada aksi sulung di depan penyokong sendiri.
"Namun, saingan ACL agak berbeza dengan aksi Liga Super kerana JDT bakal berdepan pasukan-pasukan terbaik di peringkat Asia.
"Oleh itu, aksi berintensiti tinggi yang dipraktikkan selama ini diharap membantu kita untuk lebih bersedia dari segi mental dan fizikal bagi mengharungi aksi-aksi yang jauh lebih mencabar nanti,” katanya.
Solari berkata demikian pada sidang media menjelang aksi pembukaan Kumpulan I Liga Juara-Juara Asia (ACL) berdepan skuad Gremio itu di Stadium Sultan Ibrahim, pada Selasa.
Selain Kawasaki Frontale, skuad Harimau Selatan itu turut diundi bersama Ulsan Hyundai dari Korea Selatan dan kelab Thailand, BG Pathum United.
Tambah Solari, kesemua pemain diharap berwaspada ketika berdepan kelab Jepun itu yang disifatkannya sebagai sebuah pasukan yang agak kuat.
Katanya, dengan reputasi selaku kelab yang bersaing dalam saingan liga yang cukup kompetitif (Liga-J) selain sudah enam tahun mendapat sentuhan jurulatih berpengalaman seperti Oniki, skuad Gremio itu juga dilihat sebagai pasukan terkuat bagi saingan Kumpulan I kali ini.
"Tidak dinafikan kelab ini sebuah kelab yang kuat. Selain bersaing di liga yang cukup kompetitif, mereka pastinya serasi bersama kerana sudah enam tahun di bawah bimbingan jurulatih yang sama (Oniki),” katanya.
Sementara itu, Solari menyifatkan kehadiran semula Fernando Forestieri dan Diogo Luis Santo akan kembali memperkuatkan jentera serangan pasukan bagi menggempur benteng pertahanan Kawasaki Frontale.
Bagaimanapun katanya, Forestieri baru menjalani latihan sejak tiga hari lalu sementara Diogo sudah 10 hari menjalani latihan.
"Amat penting untuk saya melihat tahap kecergasan mereka sebelum membuat keputusan menyenaraikan mereka dalam kesebelasan utama nanti.
"Namun, siapa juga yang diturunkan diharap dapat memberikan saingan dan cabaran kepada lawan kerana pentas ini (ACL) memang berbeza dengan saingan di pentas domestik,” katanya.