KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Perikatan Nasional (PN) Pahang dikatakan hanya menampilkan dua calon tempatan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Bentong pada Pilihan Raya Kecil (PRK), 7 Oktober depan.
Mereka yang disebut-sebut bakal bertanding di DUN Pelangai ialah Kasim Samat dan Roslan Md Esa serta kedua-dua mereka adalah calon tempatan.
Kasim atau lebih dikenali dengan panggilan Cikgu Kasim pernah bertanding merebut kerusi terbabit pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 hanya memperolehi 3,260 undi melawan penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun yang meriah sebanyak 7,308 undi.
Roslan juga mempunyai pengalaman apabila pernah bertanding di kerusi DUN Ketari pada PRU ke-14, namun tewas kepada Young Syefura Othman daripada Pakatan Harapan (PH) (9,873 undi) dan beliau hanya mendapat 3,260 undi.
Difahamkan, nama Cikgu Kasim dan Roslan menjadi pilihan ahli di peringkat akar umbi sebagai calon untuk bertanding di kawasan DUN pada PRK itu nanti.
Sebelum ini, Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang, Andansura Rabu berkata, senarai nama daripada pemimpin tempatan dari Bahagian Pas Bentong sudah diserahkan untuk dipertimbangkan sebagai calon.
Namun, beliau enggan mendedahkan siapa individu yang telah disenaraikan pendek oleh kepimpinan negeri dan hanya memaklumkan calon dipilih adalah pemimpin aktif dari Bentong.
Begitupun, menjelang pengumuman calon pada Rabu ini, pasti pelbagai teka-teki bermain dan soal siapa yang layak menjadi calon semakin hangat diperkatakan semua pihak.
Calon yang dipilih kelak perlu memenangi hati 16,456 pengundi di kawasan yang mempunyai 10 kampung tradisi, tiga tanah rancangan Felda, tiga estet dan empat Kampung Baru Cina.
Sementara itu, Cikgu Kasim ketika dihubungi memaklumkan beliau menyerahkan segala keputusan terhadap pucuk pimpinan parti berhubung isu calon bertanding di kerusi Dun Pelangai.
Ujarnya, sekiranya dipilih sekali lagi menjadi calon pasti gerak kerja diatur sebaiknya bagi membolehkan kemenangan menjadi milik PN.
"Kita tunggu sahaja pengumuman calon yang akan diumumkan pada Rabu nanti. Kalau saya dipilih oleh pucuk pimpinan pasti saya akur dan terima amanah ini sebaiknya.
"Jika sebaliknya (tidak terpilih) gerak kerja dan jentera telah disusun untuk membantu sesiapa sahaja calon yang bertanding di DUN Pelangai,"katanya.
Roslan turut mengambil maklum bahawa namanya juga antara yang disenaraikan sebagai calon PN di kerusi terbabit.
Beliau berkata, Pas tidak mengajar pemimpin dan ahli untuk melobi atau meminta jawatan, sebaliknya perlu akur dengan setiap keputusan daripada pucuk pimpinan parti.
"Kalau khidmat saya diperlukan untuk berada (menjadi) calon, Insya-ALLAH saya akan berikan terbaik untuk memenangkan PN dan itu sebenarnya komitmen daripada semua kepimpinan parti.
PRK DUN Pelangai diadakan susulan kematian Johari daripada Barisan Nasional (BN) yang terbabit dalam kejadian kapal terbang terhempas di Shah Alam, Selangor bulan lalu.
Pada PRU15, Johari menang kerusi DUN Pelangai dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan calon PN, Kasim; Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada PH (2,031 undi) dan Isa Ahmad daripada Pejuang (65 undi).
Meskipun kemenangan itu tidak memberi kesan kepada kerajaan negeri, namun ia begitu signifikan dalam memastikan BN atau PN mempunyai kelebihan kerana masing-masing mempunyai 17 kerusi.
Faktor calon yang boleh menang dan disukai serta memenuhi kehendak orang Pelangai perlu diberi perhatian.
Faktor pilihan pengundi pada masa ini juga perlu diberi perhatian dan bukannya berlandaskan parti semata-mata.