MELAKA - Kerajaan Melaka dan syarikat penerbangan komersial yang pernah bertapak di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) tidak pernah menandatangani sebarang perjanjian untuk memastikan mereka berterusan mendarat di landasan itu.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, disebabkan mereka tidak terikat dengan sebarang penjanjian akhirnya mengakibatkan kemudahan itu kembali sepi dan tidak menerima pengunjung.
Menurutnya, kerana itu penting untuk pihaknya mewujudkan Memorandum Persefahaman (MoU) selepas ini bagi memastikan syarikat penerbangan tidak melanggar sebarang syarat perjanjian yang akan dipersetujui.
"Kita tidak pernah ada satu perjanjian yang mengatakan syarikat penerbangan ini mesti mendarat di LTAM.
"Jadi mereka akan ikut pada jumlah penumpang dan kalau rasa rugi, mereka akan tamatkan serta merta perkhidmatan di lapangan terbang ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Penyelarasan Karnival Udara Antarabangsa Melaka 2023 (KUAM’23) yang dipengerusikan Exco Pelancongan Warisan, Seni dan Budaya, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman di LTAM Batu Berendam, di sini, pada Isnin.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Limau, berkata, pihaknya tidak mahu perkara yang sama berulang lagi hingga mencacatkan perkidmatan bertaraf antarabangsa itu yang sebelum ini aktif dengan penerbangan domestik dan luar negara.
Ujarnya, setakat ini difahamkan tujuh syarikat penerbangan komersial termasuk dari negara Indonesia dan Singapura dipelawa beroperasi di lapangan terbang berkenaan.
"Namun semua ini masih dalam perbincangan di peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk mengadakan MoU nanti," katanya.
Sinar Harian pada 6 September lalu melaporkan meskipun tinggal tiga bulan sebelum negeri ini menyambut Tahun Melaka 2024 (TMM2024), namun kemudahan Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) Batu Berendam didakwa tidak menerima pesawat komersial sejak bulan lalu.
Tinjauan di lapangan terbang itu mendapati semua premis yang terdapat dalam bangunan itu tidak beroperasi selain seorang petugas memaklumkan semua penerbangan komersial telah dihentikan sementara.
Sementara itu, Abdul Razak berkata, pengajuran karnival itu menyasarkan seramai 45,000 pengunjung selama tiga hari program berlangsung.
Menurut beliau, menariknya pengunjung berpeluang menaiki helikopter meninjau ruang udara Melaka dengan bayaran RM270 seorang.
"Mereka yang berminat akan di bawa menggunakan helikopter selama 10 minit meninjau ruang udara Melaka sehingga ke Batu Pahat, Johor," katanya.