Pengguna, peniaga taruh harapan isu kekurangan beras tempatan selesai

Iklan
Kenaikan harga beras putih import menyumbang kepada peralihan trend pembelian pengguna terhadap makanan ruji itu di negara ini, sekali gus menyebabkan kekurangan bekalan beras putih tempatan di pasaran. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Kenaikan harga beras putih import menyumbang kepada peralihan trend pembelian pengguna terhadap makanan ruji itu di negara ini, sekali gus menyebabkan kekurangan bekalan beras putih tempatan di pasaran.

Peningkatan sebanyak 60 peratus harga beras putih import pada akhir Ogos tahun lalu, selain pengukuhan Dolar Amerika (ASD) berbanding Ringgit telah memberi impak kepada peningkatan harga beras putih import itu yang tahap kebergantungannya adalah sebanyak 30 peratus.

Iklan
Iklan

Walaupun terdapat kritikan terhadap kerajaan, pelbagai usaha telah dilakukan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan seperti Program Khas Beras Putih Tempatan (PKBPT), Op Jamin dan Operasi Beras Putih Tempatan selain meningkatkan pengeluaran sebanyak 20 peratus bekalan bagi memastikan ia mencukupi bagi menampung keperluan domestik.

Selain itu, tinjauan Bernama di beberapa premis kedai dan pasar raya di seluruh negara mendapati bekalan beras putih tempatan masih mengalami kekurangan dan kebanyakan pengguna dan peniaga yang ditemui menaruh harapan agar ia segera diselesaikan.

Iklan

Keadaan itu menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dijangka akan pulih bulan depan menerusi beberapa langkah intervensi yang dilaksanakan kementerian.

Di Kedah, bagi mengurangkan bebanan pengguna, Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri, Affendi Rajini Kanth berkata, pihaknya mengambil inisiatif menjual beras import pada kadar harga beras tempatan melalui Program Jualan Rahmah.

Iklan

Di Negeri Sembilan, Pengurus Pasaraya Econsave Forest Height, Mohd Shafeq Ismangil berkata, pihaknya dimaklumkan bekalan beras putih tempatan akan mula diedarkan kepada peniaga dalam minggu ini atau minggu depan.

"Isu bekalan beras tempatan ini tidak besar sangat, apabila ada kenaikan harga beras import menyebabkan pengguna beralih kepada beras tempatan jadi permintaan menjadi tinggi daripada pengeluaran.

"Walaupun tindakan diambil penguat kuasa berkenaan kekurangan beras tempatan ini tidak dapat diselesaikan 100 peratus tetapi saya yakin keadaan akan kembali normal dan bekalan itu ada di pasaran, tiada masalah," katanya.

Di Pulau Pinang, Pengarah Jabatan Pertanian Negeri, Muhaimin Ibrahim berkata, hasil keluaran padi negeri merekodkan sebanyak 122,321.025 tan metrik tahun lalu bagi menampung keperluan 63 peratus penduduk di negeri itu.

Beliau menjelaskan ketika ini tuaian padi sedang dijalankan di 12,105 hektar kawasan penanaman padi dan jumlah hasil tuaian bagaimanapun masih belum diperoleh.

Di Selangor, pemilik sebuah kilang pemprosesan beras di Sekinchan, Allen Lim, 50, berkata pihaknya menjangkakan bekalan beras putih tempatan di negeri itu akan kembali meningkat bulan depan.

"Banyak faktor yang perlu diambil kira...apabila bukan musim, biasalah beras tempatan berkurangan tetapi tengah bulan Oktober musim dah kembali (dan) beras akan bertambah semula.

"Selain itu, harga beras global juga semakin meningkat (dan) sebab itu mereka yang selama ini makan beras import beralih ke beras tempatan sebab harga lebih murah,” katanya dan menambah faktor cuaca turut mempengaruhi pengeluaran hasil padi.

Di Melaka, Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, bekalan di negeri itu akan bertambah baik selepas mula menerima bekalan beras putih tempatan sebanyak 500 tan metrik bermula kelmarin.

"Mengenai aduan bekalan tidak cukup, sudah tentu ada namun sedikit demi sedikit bekalan itu akan kita penuhi," katanya.

Di Terengganu, Pengarah Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras Negeri, Ahmad Suffian Zulkipeli berkata, berdasarkan pemantauan, bekalan beras putih tempatan dan beras putih import mencukupi untuk memenuhi keperluan penduduk.

"Setakat ini di Terengganu terdapat 34 pemborong beras putih tempatan dan beras putih import yang aktif dan terdapat sebanyak 769 peruncit yang berlesen. Terdapat lapan pemborong dan tiga buah kilang yang menyertai PKBPT untuk memastikan bekalan beras tempatan sentiasa ada di pasaran,” katanya.

Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Gerai, di Besut Amrul Azri Shamsuddin berkata, agensi itu menghasilkan sekitar 45 tan metrik sebulan untuk pasaran di negeri berkenaan serta beberapa kawasan di Selangor.

Katanya, secara keseluruhan terdapat 1,402 pesawah yang mengusahakan 2,926 hektar tanaman padi di daerah itu.

Sementara itu, di Kelantan, Pengerusi Komuniti Peniaga Pasar Melor, Nik Pa Nik Hassan berkata, susulan isu berkenaan, peniaga mengambil inisiatif dengan beralih menggunakan beras import dari negara jiran Thailand sebagai alternatif kepada pengguna.

"Rakyat Kelantan agak sinonim dengan beras import dari Thailand. Jadi beras import ini menjadi alternatif atau pilihan kepada mereka," katanya.

Di Pahang, Pengerusi Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri, Sim Chon Siang memaklumkan perkara itu akan dibawa ke mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Pahang pada Rabu ini untuk dibincangkan. - Bernama