Sukan Asia: Pearly-Thinaah dalam landasan tepat cabar pingat - Rexy

Iklan
Pearly Tan-M Thinaah - Foto EPA

BIARPUN kempunan merangkul kejuaraan pertama musim ini pada Terbuka Hong Kong 2023 semalam, beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M. Thinaah tetap berada dalam landasan tepat mencabar kedudukan podium pada Sukan Asia Hangzhou 2022 di China.

Keyakinan itu dilaungkan Pengarah Kejurulatihan Beregu, Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky selepas menilai tahap permainan Pearly-Thinaah yang muncul naib juara pada kejohanan berlangsung di Coliseum Hong Kong, Kowloon.

Iklan
Iklan

Beliau tetap berpuas hati dengan persembahan keseluruhan Pearly-Thinaah pada kejohanan bertaraf Super 500 itu yang menyaksikan anak buahnya tumpas kepada pasangan Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti dari Indonesia, 21-14, 22-24, 9-21 dalam pertarungan selama 73 minit di pentas final.

"Persembahan keseluruhan cukup positif dan saya beri penarafan sekitar lapan sehingga sembilan. Mereka berada di landasan tepat untuk untuk bersaing pingat,"kata Rexy ketika dihubungi Bernama pada Isnin.

Iklan

Dalam pada itu, pakar beregu dari Indonesia itu masih menunggu tahap kecederaan Pearly yang tersungkur di atas gelanggang pada set penentuan semalam sehingga mengakibatkan anak buahnya hilang fokus dan terlepas gelaran sulung tahun ini.

Pencapaian di Kowloon menyaksikan mereka berjaya meraih naib juara buat kali kedua tahun ini selepas turut dikecewakan pada final Malaysia Masters 2023 di tangan pasangan Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee 22-20, 8-21, 21-17, Mei lalu.

Iklan

Kali terakhir Pearly-Thinaah menjadi juara ialah pada Terbuka Perancis 2022, Oktober tahunlalu dengan mengejutkan juara dunia dua kali, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dari Jepun, 21-19, 18-21, 21-15.

Juara Sukan Komanwel 2022 itu dijadual menjalani kem latihan skuad kebangsaan bermula esok di ABM, Bukit Kiara sebelum berlepas ke Hangzhou pada 25 Septemebr ini.

Vivian Hoo-Woon Khoo Wei muncul gandingan terakhir negara yang merangkul pingat bagi acara beregu wanita dalam temasya empat tahun sekali itu menerusi gangsa pada edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan.

Sukan Asia Hanghzou 2022, yang ditangguh penganjurannya setahun susulan Covid-19, dijadual membuka tirai pada 23 September dan berakhir 8 Oktober ini. - Bernama