JOHOR BAHRU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Negeri (KPDN) Johor telah mengenal pasti dan akan mengenakan tindakan terhadap premis yang didakwa menjual minyak masak peket bersubsidi kepada warga asing, seperti yang tular baru-baru ini.
Menurut pengarahnya, Lilis Saslinda Pornomo, kertas siasatan juga telah dibuka berhubung perkara berkenaan dan siasatan lanjut akan dijalankan.
"Pada Isnin, anggota penguat kuasa KPDN Johor Bahru telah menjalankan pemeriksaan serta siasatan terhadap premis di lokasi dan hasil pemeriksaan satu tindakan kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 diambil dimana premis yang mempunyai lesen borong Control Supply Act (CSA) bagi barang kawalan ini disyaki gagal mematuhi Peraturan 13, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974.
"Oleh itu, siasatan lanjut akan dijalankan bagi memastikan tiada unsur ketirisan atau penyelewengan berlaku melibatkan minyak masak peket satu kilogram ini,” katanya.
Lilis Saslinda berkata demikian bagi mengulas rakaman video berdurasi lebih tiga minit yang memaparkan beberapa kotak dipercayai mengandungi minyak masak peket dijual oleh warga asing di sebuah premis di sekitar bandar raya ini.
Katanya,pihak yang didapati bersalah menjual minyak masak peket bersubsidi ini boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama, manakala denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan kedua.
Bagaimanapun bagi bagi pertubuhan atau perbadanan, denda tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya.
Sementara itu Lilis Saslinda berkata, hasil pemantauan dan pemeriksaan yang dijalankan, secara keseluruhannya bekalan barangan keperluan setakat ini mencukupi serta mudah diperoleh.
Katanya, berdasarkan pemeriksaan di semua peringkat rantaian pengedaran melibatkan pengilang, pemborong serta peruncit didapati tidak berlaku ketirisan mahupun penyelewengan bekalan yang menjejaskan bekalan (makanan) di pasaran.
"Kita (KPDN Johor) akan bertindak dengan cekap dan pantas serta tidak berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang bagi membanteras sindiket penyelewengan subsidi barangan kawalan demi kepentingan rakyat,” katanya.