Pembinaan kapal LCS dimulakan minggu depan

Iklan
Mohamad Hasan - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Aktiviti fizikal pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) akan dimulakan pada minggu depan setelah terhenti kira-kira empat tahun.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pihaknya memberi tumpuan sepenuhnya bagi memastikan projek LCS itu disiapkan mengikut jadual berdasarkan kontrak tambahan keenam yang telah ditandatangani pada 26 Mei 2023.

Iklan
Iklan

"Untuk fasa pertama ini, tumpuan adalah kepada pemindahan pemilikan saham Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNSSB) kepada syarikat milikan Menteri Kewangan Diperbadankan.

"Ia juga babitkan rundingan penyambungan tempoh kontrak BNSSB dengan pihak pengeluar peralatan tulen (OEM) dan vendor," katanya ketika sesi penggulungan perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi kementeriannya di Dewan Rakyat pada Isnin.

Iklan

Mengulas mengenai penyiapan rekaan terperinci, Mohamad memberitahu, sehingga kini ia sudah siap 94 peratus manakala baki enam peratus rekaan terperinci sedang disiapkan oleh BNSSB, membabitkan zon tidak kritikal iaitu zon kapal atas permukaan air.

"Rundingan dengan Pihak Berkuasa Rekaan iaitu Naval Group Perancis bagi kontrak rekaan terperinci dan Naval Group Malaysia bagi kontrak bantuan dan sokongan teknikal juga dimuktamadkan," ujarnya.

Iklan

Menyentuh berkaitan alternatif supaya kapal LCS 2 dan LCS 3 disiapkan Naval Group Perancis pula, Mohamad menjelaskan, perkara itu pernah dibentangkan kepada Jemaah Menteri sebelum ini, namun tidak dapat dipertimbangkan.

"Cadangan itu membabitkan kos lebih tinggi kepada kerajaan disebabkan tempoh masa yang perlu diambil bagi rundingan semula dengan kontraktor utama yang baharu (Naval Group) serta keperluan menanggung kos bagi peralatan yang dibeli dan diterima kontraktor semasa.

"Kementerian komited dan akan memastikan projek ini diteruskan mengikut kontrak dimeterai," tambahnya.

Dalam pada itu, beliau turut menolak kemungkinan akan berlaku kenaikan kos bagi LCS selepas ini kerana tersadai terlalu lama.

Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) sebelum itu melahirkan kebimbangan mengenai keadaan semasa kapal LCS yang telah tersadai lama.

"Bila duduk di tepi laut, kita tahu mesti besi sudah berkarat. Apatah lagi tersadai lama di laut, mungkin tikus gigit wayar itu? Ini akan menyebabkan kos naik berkali ganda,”

Mohamad sebaliknya memohon Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong dan semua ahli Parlimen berdoa agar wayar yang berada di dalam kapal tersebut tidak digigit haiwan perosak berkenaan.

"Mari kita berdoa bersama-sama supaya tikus tidak gigit wayar tersebut,” katanya.