Nostalgia Pestabola Merdeka

Iklan
Laporan Sukan Sinar pada Isnin. Gambar kecil: Jamal Nasir

LEGENDA bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail menyifatkan beraksi di kejohanan Pestabola Merdeka antara kenangan cukup manis sebagai seorang pemain bola sepak negara.

Menurutnya, untuk tersenarai dalam pasukan negara pada ketika itu sangat sukar kerana ramai pemain yang dipanggil untuk mewakili negara, namun hanya yang betul-betul layak dapat beraksi.

Iklan
Iklan

"Prestij kejohanan ini memang luar biasa kerana kita satu-satunya negara yang ada kejohanan terbesar di Asia dan menjadi impian setiap pemain untuk beraksi.

"Kita sebagai pemain sentiasa berharap dapat mewakili negara dalam Pestabola Merdeka. Ketika itu ramai dipanggil sehingga ada Malaysia A dan Malaysia B.

Iklan

"Kerana terlalu ramai pemain ketika itu, jadi, dipecahkan dua pasukan. Bayangkan nak dapat main dan terpilih dalam pasukan utama tu macam mana? Apabila saya terpilih memang sangat bangga dan gembira kerana dapat mewakili negara,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.

Beliau membantu Malaysia muncul juara pada edisi 1976 ketika menewaskan Jepun 2-0 di pentas akhir dan pada 1979 apabila menjadi juara bersama Korea Selatan.

Iklan

Mengimbau kemeriahan kejohanan itu, Jamal yang juga bekas pemain Pahang tidak dapat menggambarkan keterujaan penyokong yang sentiasa memenuhi Stadium Merdeka setiap edisi penganjuran.

Beliau berkata, kejohanan tersebut sentiasa dinantikan oleh peminat bola sepak selain negara lawan yang dijemput seperti Korea Selatan, Jepun dan Iraq tidak pernah melepaskan peluang untuk turut serta.

"Apabila ada perlawanan Pestabola Merdeka tidak kira apa pun situasi memang penonton datang. Jam 3 petang sudah penuh stadium padahal perlawanan akan mula jam 8 malam.

"Sambutan rakyat pada ketika itu sangat luar biasa kerana pasukan kita juga agak hebat pada masa itu. Kita memanggil pasukan ternama di Asia dan mereka semua datang.

"Dalam kejohanan itu, apabila kita main di tempat kita sendiri perasaan itu lain macam. Dengan sorakan penonton memberikan semangat luar biasa kepada pemain sehingga mampu menundukkan lawan yang lebih hebat.

"Walaupun stadium kita tidak besar pada ketika itu hanya 20,000 orang sahaja di Stadium Merdeka, tetapi sambutan luar biasa umpama sorakan 60,000 penonton. Apabila jadi juara, ia satu kepuasan untuk diri sendiri selain puas dapat menggembirakan penyokong,” katanya yang sinonim di posisi pertahanan kanan bersama skuad negara.

Dalam pada itu, Jamal memuji tindakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang menganjurkan semula kejohanan tersebut selepas 'terkubur' hampir 10 tahun.

"Saya harap kejohanan ini akan dapat diangkat kembali sebagai satu kejohanan yang berprestij dan dapat menarik lebih ramai pasukan terbaik seperti sebelum ini.

"Sebagai seorang bekas pemain yang pernah beraksi dan membantu Malaysia menang, saya mahu melihat ia kembali dikenali semula terutama dalam kalangan generasi muda hari ini.

"Saya juga rasa bangga ALLAH SWT bagi saya sehingga hari ini masih bernyawa pada usia 70 tahun dan dapat lagi tengok Pestabola Merdeka,” katanya.