BEKALAN satu gol mengiringi Kuala Lumpur City bagi perlawanan timbal balik suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur, Kuantan disifatkan sebagai yang terbaik diperoleh The City Boys ketika berdepan Sri Pahang.
Malah, pengendali Kuala Lumpur City FC, Nenad Bacina tanpa berselindung mengakui berdepan angkatan Fandi Ahmad di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur bukan perlawanan mudah kerana aksi suku akhir pertama lebih kepada permainan taktikal kedua-dua pasukan.
"Kami juga tahu bahawa Pahang yang dibarisi para pemain berkualiti bukan lawan yang mudah dijinakkan dalam perlawanan ini.
"(Kpah) Sherman, (Nor Azam) Azih dan Sergio (Fabian Ezequiel Aguero) sering mendatangkan masalah kepada barisan pertahanan Kuala Lumpur, namun kami berjaya mengekang mereka sebaiknya.
"Pada masa sama kami juga berjaya mencipta beberapa peluang terutamanya dari set pieces, namun gagal diterjemahkan dalam bentuk jaringan.
"Biarpun begitu secara keseluruhannya saya amat berpuas hati dengan keputusan dalam perlawanan ini," katanya selepas perlawanan itu.
Gol sepakan penalti Romal Morales yang dijelmakan dalam bentuk jaringan selepas bintang The City Boys, Paulo Josue dikasari pertahanan Tok Gajah, Syazwan Andik pada minit ke-72 memisahkan kedua-kedua pasukan selepas 90 minit permainan.
Mengulas lanjut, pengendali kelahiran Croatia itu mengakui Kuala Lumpur City perlu memperbaiki pelbagai aspek menjelang kunjungan ke Kuantan bagi perlawanan timbal balik kedua pada 24 September ini.
"Saya tahu para penyokong tentu mengharapkan kemenangan 4-0 atau 5-0, namun satu gol merupakan petanda positif sebagai motivasi untuk perlawanan timbal balik kedua.
"Saya tidak boleh mengharapkan lebih daripada yang telah diberikan pemain saya dalam perlawanan ini tambahan pula selepas beberapa percubaan gagal diterjemahkan dalam bentuk jaringan.
"Satu gol sebenarnya menghidupkan peluang Kuala Lumpur City untuk berada dalam mood terbaik bagi perlawanan timbal balik kedua di Kuantan," katanya.