Langgar syarat lesen, bot pukat rawa sorong ditahan

Iklan
Dua nelayan tempatan termasuk tekong berumur 49 dan 55 tahun dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut. - Foto Maritim Malaysia

KUALA KURAU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Zon Maritim Kuala Kurau telah menahan sebuah bot nelayan tempatan jenis pukat rawa sorong di kedudukan 5.5 batu nautika barat daya Pulau Sangga Besar, kelmarin.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Najhan Azman Hamid berkata, pasukan bot peronda Maritim Malaysia di atur gerak ke lokasi tangkapan sejurus Pusat Operasi (PUSOP) Zon Maritim Kuala Kurau menerima aduan awam.

Iklan
Iklan

"Hasil pemeriksaan menemukan dua nelayan tempatan termasuk tekong berumur 49 dan 55 tahun berada di bot terbabit.

"Pemeriksaan lanjut mendapati bot berkenaan tidak memiliki lesen yang sah dan disyaki menggunakan pukat rawa sorong sebagai peralatan untuk menangkap ikan.

Iklan

"Kedua-dua nelayan, bot dan peralatan menangkap ikan ditahan serta dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 8 (a) Akta Perikanan 1985 kerana mengoperasikan vesel penangkapan ikan tanpa lesen yang sah dan Seksyen 11 (3)(b) akta yang sama iaitu memiliki peralatan menangkap ikan yang tidak dilesenkan.

Iklan

Maritim Malaysia menyeru kepada semua komuniti maritim agar sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan demi kesejahteraan ekosistem maritim Malaysia

Sebarang aduan, salah laku dan insiden kecemasan yang berlaku di laut, orang ramai boleh melaporkan kepada Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau di talian 05-7279919 atau MERS 999 untuk tindakan segera. - Awani