MIKEL Arteta menjangkakan Declan Rice akan memainkan peranan penting untuk Arsenal ketika menentang PSV Eindhoven dalam aksi Liga Juara-Juara pada Khamis.
The Gunners kembali ke Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak 2016 dan memberikan Rice pengalaman sulung dalam saingan kelab elit Eropah selepas perpindahannya dari West Ham United musim panas lalu.
Arteta membelanjakan £100 juta (RM580 juta) untuk pemain tengah itu dan mengharapkan aksi cemerlang dipamerkan ketika kunjungan PSV ke Stadium Emirates dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B tersebut.
Pemain berusia 24 tahun itu telah memulakan kariernya dengan baik bersama Arsenal, menjaringkan gol pertamanya untuk kelab itu dengan cara dramatik ketika menentang Manchester United pada 3 September.
Malah, dia juga menjadi aset buat skuad kendalian Arteta dalam menebus kegagalan memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim lalu.
Arsenal mensia-siakan kelebihan lapan mata pada minggu-minggu terakhir musim lalu ketika Manchester City menamatkan usaha The Gunners untuk gelaran pertama sejak 2004.
"Dia mampu memecahkan permainan dan turut menyatukan pasukan ketika saat genting. Dia benar-benar dominan dan kemudian menghasilkan detik ajaib untuk memenangi permainan.
"Keupayaan teknikal yang dimilikinya terutama ketika dia melakukan percubaan jarak jauh, dia sememangnya pemain luar biasa," katanya.