MELAKA - Peniaga sekitar Bachang termasuk di Pasar Awam Bachang di sini, masih menunggu bekalan beras putih tempatan sejak lebih sebulan lalu.
Peniaga runcit, Sultan Awaluddin HP Jamal Mohd, 53, mengaku kali terakhir mendapat bekalan beras tempatan Julai lepas sebanyak 15 peket.
Menurutnya, disebabkan terputus bekalan beras tempatan, dia hanya menjual beras import, namun terbeban dengan kenaikan harga beras itu hampir setiap minggu.
"Dah lama tak ada beras tempatan, pelanggan ramai tanya tapi kami sendiri tak dapat bekalan daripada pemborong sejak bulan Julai lalu.
"Masalah sekarang beras import naik harga daripada RM26 untuk 10 kilogram, naik RM2 setiap minggu dan kini mencecah harga RM36, sedangkan kami hanya untung RM1," katanya ketika ditemui di Bachang pada Selasa.
Tambahnya, sejak berniaga runcit lebih 15 tahun lalu, dia tidak pernah berdepan masalah kekurangan beras tempatan seperti yang dialami di kebanyakan tempat sekarang ini.
Situasi sama turut diakui seorang lagi peruncit, Mohd Nazri Mohd Noor, 45, yang sudah lebih empat bulan tidak mendapat bekalan beras tempatan dan secara tidak langsung memberi impak kepada perniagaannya.
Katanya, dia kasihankan kepada pengguna yang kurang bernasib baik seperti golongan B40 kerana mereka tiada pilihan dan terpaksa juga membeli beras import dengan harga mahal.
"Kita yang jual beras ini untung tak seberapa dan kasihan bagi keluarga susah kerana harga beras import selang beberapa minggu akan naik harga.
"Saya harap pihak berkenaan cari solusi jangka masa panjang, dan jelaskan pada rakyat tentang isu beras ini agar pengguna lebih memahami dan segera tambahkan stok beras tempatan kepada peniaga kecil seperti kami," katanya.
Sementara itu, ibu tunggal yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, Zamrah Halil, 38, berkata, disebabkan sukar mendapat beras tempatan dia terpaksa membeli beras timbang demi memastikan tidak terputus bekalan makanan ruji itu.
Menurutnya, bukan sahaja terbeban dengan kenaikan harga beras, malah bahan mentah lain.
Namun katanya, dia tiada pilihan kerana perlu menanggung empat orang anak yang masih bersekolah berusia 17 hingga empat tahun.
"Bukan sahaja beras, barangan lain seperti cili dan bawang juga naik harga dan golongan seperti saya yang kurang berkemampuan memang terasa kesannya.
"Mahu tak mahu saya perlu catu makanan dan membeli yang perlu sahaja agar saya dapat sediakan nasi setiap hari untuk anak-anak," katanya yang menyewa di Durian Daun.