ALOR SETAR - Kisah sepasang suami isteri yang tinggal di sebuah pondok usang di Kampung Kebun Pinang, Pengkalan Kundor, di sini, mendapat perhatian pelbagai pihak selepas ia tular di media sosial.
Mat Saad Abdullah, 53, dan isterinya, Zaimah Mohd Yusoff, 54, tinggal di pondok berkenaan sejak setahun lepas.
Disebabkan itu, katanya, mereka berdua berasa bersyukur apabila bakal mendiami rumah baharu yang lebih selesa.
"Sebaik kisah kami tular, ramai pihak tampil membantu termasuklah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundur, Mardhiyyah Johari yang turun bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK).
"Jadi, kami berterima kasih kepada semua pihak yang prihatin dengan nasib kami suami isteri apabila berusaha mencari rumah sewa, selain memberi bantuan lampin pakai buang dan barang keperluan," katanya ketika ditemui pada petang Isnin.
Jelas Mat Saad, mereka berdua sebelum ini tinggal bersama dengan anak perempuan dan menantunya di sebuah rumah berhampiran pondok terbabit.
"Bagaimanapun, kami mengambil keputusan tinggal di pondok ini berikutan keadaan isteri yang tidak tahan panas selepas diserang penyakit angin ahmar sebanyak dua kali.
Disebabkan itu, kongsi Mat Saad, mereka mengambil keputusan untuk mendiami pondok terbabit dalam keadaan serba kekurangan.
Katanya lagi, mereka memiliki tiga anak perempuan yang telah berkahwin, namun masing-masing juga tidak berkemampuan dan ada tanggungan sendiri.
Bagaimanapun, dia memberitahu, anak perempuan mereka akan memasak dan menghantar makanan untuk ibunya setiap hari.
"Hendak makan sendiri tidak nampak, jadi anak akan membantu menyuap makanan kepada ibu mereka," katanya.
Menurutnya, isterinya juga agak sukar bergerak berikutan pernah terlibat dalam kemalangan ketika menghantarnya ke tempat kerja sewaktu dia bekerja sebagai pengawal keselamatan.
"Jadi, saya sekarang hanya bekerja kampung dengan pendapatan tidak menentu sekitar RM500 sebulan untuk menyara kehidupan kami berdua," katanya.
Mat Saad berkata, pendapatan terbabit sememangnya tidak mencukupi untuk menampung keperluan mereka termasuklah kos lampin pakai buang isterinya.
"Mujur, ramai yang baik hati termasuklah majikan yang sanggup mengambil dan menghantar ke tempat kerja disebabkan saya tidak memiliki motosikal untuk bergerak,"katanya.
Mat Saad berkata, mereka berdua amat berterima kasih atas bantuan dihulurkan dan mendoakan kesejahteraan semua pihak yang membantu mereka memulakan kehidupan baharu.