PETALING JAYA - [DIKEMAS KINI] Seramai 23 individu ditahan secara berasingan dalam Op Sasar di dua kawasan 'hotspot' sekitar daerah ini sejak 12 September sehingga 17 September lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kesemua individu berusia 18 hingga 54 tahun itu ditahan kerana disyaki terlibat dengan pelbagai kesalahan jenayah dan dadah.
"Kita turut merampas dadah jenis ganja anggaran berat 627 gram, heroin (4.5 gram) dan syabu (4.3 gram) yang keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM3,818," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Mohamad Fakhrudin berkata, pihaknya giat menjalankan operasi pencegahan jenayah yang diselaraskan oleh Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.
"Tujuan utama operasi ini dijalankan adalah untuk memerangi jenayah di kawasan 'hotspot' terutama kes jenayah samun, ragut, pecah rumah, curi kenderaan dan aktiviti dadah.
"Selain itu, kita mahu mengurangkan kegusaran masyarakat terhadap jenayah di kawasan sekitar sekali gus menaikkan kembali keyakinan mereka terhadap perkhidmatan pihak polis," katanya.
Beliau berkata, operasi itu turut mendapat sokongan masyarakat sehingga ada persatuan penduduk mahu melibatkan diri dalam rondaan jalan kaki bersama anggota polis.
"Kita tidak akan berkompromi dengan penjenayah, malah akan mengambil tindakan lebih tegas terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan jenayah dan dadah.
"Operasi ini akan terus dilaksanakan bagi mengawal aktiviti jenayah dan mengekalkan ketenteraman awam serta mewujudkan rasa selamat masyarakat yang tinggal di daerah ini," ujarnya.