Flex sumbang RM300,000 naik taraf makmal IT St Nicholas' Home

Iklan
Carmen (kiri) dan Lee membantu salah seorang tenaga pengajar, Fatimah Sun menggunakan komputer di makmal IT di SNH.

GEORGETOWN - Syarikat pembuatan global, Flex melalui Yayasan Flex menyumbang sebanyak RM300,000 kepada St Nicholas' Home (SNH) bagi menaiktaraf makmal teknologi maklumat (IT) untuk kegunaan pelajar pertubuhan kebajikan tersebut.

Naib Presiden Teknologi Informasi Flex, Datuk SN Lee berkata, sumbangan tersebut bagi membolehkan makmal IT sedia ada dibaik pulih untuk melatih, membangun dan memperkasa komuniti buta dan kurang upaya penglihatan (BVI) di Malaysia.

Iklan
Iklan

Menurutnya, makmal itu juga memainkan peranan kritikal untuk mempromosikan orang kurang upaya (OKU) dengan menghubungkan jurang digital dalam mereka.

"Satu daripada rukun strategi kelestarian 2030 kami ialah komuniti yang menumpukan kepada penambahbaikan kualiti hidup dan kesejahteraan komuniti yang kami santuni.

Iklan

"Kerjasama dengan SNH ini selari dengan komitmen kelestarian kami dan menandakan satu langkah ke hadapan ke arah perubahan yang positif dan bermakna," katanya ketika ditemui di SNH di sini pada Selasa.

Beliau menambah, makmal berkenaan dibaik pulih sepenuhnya dengan dilengkapkan komputer yang akan memanfaatkan lebih 50 pelajar BVI setahun.

Iklan

"Makmal IT ini telah melalui transformasi 360 darjah termasuk penggantian lantai baharu, siling, penyaman udara, meja, kerusi serta komputer yang dilengkapi perisian yang direka untuk golongan BVI. Kita juga menaja mesin cetak, titik akses internet tanpa wayar dan 'server' di makmal tersebut.

"Kita memupuk budaya inklusif dan saling menghormati dalam tenaga kerja dan dalam komuniti. Flex secara aktif mengambil golongan OKU sebagai sebahagian tenaga kerja sejak 2018," katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar SNH, Carmen Chew berkata, makmal berkenaan memainkan peranan penting bagi membolehkan golongan BVI lebih berdikari serta memperkukuhkan kebolehan mereka dalam kemahiran teknologi.

"Fasiliti ini khas untuk pelajar BVI yang ingin memperoleh sijil pendidikan selain individu yang mahu mendapatkan kemahiran berkaitan IT bagi menambah kebolehpasaran mereka.

"Buat masa ini, kita ada tiga tenaga pengajar dan lima pelajar yang menggunakan makmal ini. Mereka akan belajar menggunakan komputer dan perisian khas selama enam bulan di sini secara percuma," katanya.

Dalam pada itu, salah seorang pelajar SNH, Nur Aida Aqilah Kasim, 23 berkata, dengan adanya makmal yang dilengkapi pelbagai fasiliti dan lebih selesa, dia berharap agar cita-citanya untuk menjadi guru tercapai.

"Saya mula hilang penglihatan sepenuhnya sejak 2022 selepas disahkan menghidapi glaukoma. Sebelum ini, saya belajar di Universiti Sultan Alam Shah, Kuala Kangsar dan berjaya memperoleh diploma dalam jurusan Usuluddin.

"Saya kini pelajar di Makmal IT di SNH selama enam bulan. Dengan kemahiran IT, saya kini boleh berusaha untuk memperoleh ijazah di universiti bagi membolehkan saya mencapai cita-cita saya.

"Walaupun saya buta, saya yakin dengan peluang yang ada di luar sana. Saya mahu ibu bapa saya bangga walaupun saya tidak dapat melihat," katanya.