KUALA LUMPUR - Sebanyak 80,000 isi rumah telah mendapat manfaat daripada Skim Perubatan Madani (SPM) meliputi lebih 130,000 rawatan kesihatan pesakit luar bagi kes akut melalui klinik swasta sejak ia perkenalkan.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, bilangan rawatan yang diberikan kini hampir 4,000 sehari dan semakin meningkat.
"SPM bertujuan membantu rakyat, khususnya kumpulan B40 bagi mendapatkan rawatan pesakit luar bagi kes-kes akut di klinik perubatan swasta (GP) secara percuma.
"Kini, lebih 1,300 klinik swasta telah mendaftar dan bekerjasama dalam program ini sebagai panel dalam memberikan perkhidmatan," katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat pada Selasa.
Tambah Dr Zaliha, memandangkan sambutan yang amat menggalakkan, SPM telah diperluas ke seluruh Malaysia bermula 15 September 2023.
"Kementerian Kesihatan dengan ini mengalu-alukan klinik perubatan swasta di seluruh negara untuk mendaftar sebagai klinik panel Skim Perubatan Madani.
"Saya juga berharap Yang Berhormat sekalian dapat membantu mempromosi SPM di kawasan masing-masing, untuk memastikan lebih ramai rakyat mendapat kemudahan kesihatan ini," katanya.
SPM ditawarkan secara automatik untuk kemudahan golongan yang berkelayakan bermula 15 Jun 2023 sehingga 31 Disember 2023.
Skim tersebut memperuntukkan RM250 bagi setiap isi rumah berkeluarga, warga emas tanpa pasangan (RM125), bujang (RM75) dan penerima boleh mendapatkan beberapa kali rawatan percuma hingga peruntukan bagi setiap isi rumah habis.