Bekas pekerja restoran nasi kandar didenda RM20,000

Iklan
Jalil Ahmad (kanan) hadir ke mahkamah bersama ibunya pada Selasa.

BUTTERWORTH - Seorang lelaki didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah menipu anak pemilik restoran nasi kandar tempatnya bekerja sehingga mangsa menyerahkan RM50,000 pada Oktober tahun lalu.

Tertuduh, Jalil Ahmad Mohd Adam, 53, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan pilihan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Iklan
Iklan

Tertuduh juga berdepan dengan hukuman penjara selama enam bulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang ketika itu bekerja sebagai pembantu restoran didakwa menipu seorang lelaki berusia 22 tahun yang juga anak pemilik tempatnya bekerja, dengan cara memperdayakan mangsa untuk mempercayai bahawa tertuduh akan membantu mangsa mendapatkan lesen perniagaan daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Iklan

Perkara itu mendorong mangsa membuat bayaran RM50,000 kepada tertuduh yang mana mangsa tidak akan berbuat demikian sekiranya tahu ia tidak benar.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Lebuh Sungai Pinang, Georgetown dekat sini, pada 17 Oktober 2022, antara jam 2 petang hingga 4.05 petang.

Iklan

Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Azura Zulkiflee dan Afiqa Liyana Rozman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Semasa prosiding, tertuduh merayu agar mahkamah mengenakan hukuman ringan terhadapnya berikutan dia tidak lagi bekerja dan tinggal bersama ibunya bersama dua anak perempuan yang kini menyaranya.

Noor Azura kemudian meminta mahkamah mempertimbangkan hukuman berbentuk pengajaran memandangkan ia kesalahan serius yang kerap berlaku di negara ini.

Mahkamah kemudiannya menetapkan denda RM20,000 dan penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.