PENGENDALI Kelantan FC, Angel Alfredo Vera mengaku bingung selepas anak buahnya dibelasah Kelantan United Football Club (KUFC) 7-0 dalam perlawanan suku akhir pertama Piala Cabaran, malam Isnin.
Vera berkata, perlawanan tidak seperti yang dirancang dan anak buahnya juga dilihat tidak berani mengasak.
"Saya tidak tahu apa yang terjadi malah tiada hantaran yang dibuat," katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan di Stadium Sultan Muhammad ke IV, Kota Bharu.
Pengendali kelahiran Argentina itu juga kecewa perkara sama berlaku setiap kali perlawanan.
"Bola hilang terlalu cepat. Banyak perkara yang saya fikir. Saya tidak boleh menyalahkan mereka.
"Pemain juga masih muda dan mereka dilihat takut, saya tidak tahu apa terjadi kepada mereka. Saya tidak boleh memberi alasan untuk itu," katanya.
Vera memberitahu, insiden kad merah yang diterima penjaga gol, Muhammad Irfan Haikal Mohd Iffendi pada minit 55 selepas mengasari Ismaheel Akinade turut meranapkan moral pemainnya.
Bagaimanapun katanya, ketika di bilik persalinan, dia masih memberikan motivasi untuk pemain bangkit.
Menurut Vera, pasukan itu akan terus berusaha dan menganggap kekalahan adalah tanggungjawab bersama.
Sementara itu, Ketua Jurulatih KUFC, Ailton Dos Santos Silva menganggap pesta gol itu sebagai satu motivasi untuk pasukan kendaliannya bersaing musim ini.
Silva gembira kejayaan berkenaan membuktikan peningkatan anak buahnya yang bekerja keras dalam aksi derbi itu.
"Permainan sentiasa bermula dengan kosong. Walaupun bukan mudah untuk menentang lawan tetapi pasukan bermain sehingga saat akhir.
"Apabila kita mula skor beberapa gol dan jarakkan kedudukan, kita berjaya akhirnya," katanya.