TERENGGANU FC (TFC) berjanji akan memperagakan aksi bertenaga untuk cuba mengejutkan kelab Australia, Central Coast Mariners pada aksi pertama Kumpulan G saingan Piala AFC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada Rabu.
Pengendali TFC, Tomislav Steinbruckner berkata, para pemainnya membawa motivasi tinggi selepas aksi cemerlang belum tewas dalam 11 perlawanan berturut-turut pada saingan Liga Malaysia.
"Perlawanan terakhir kami tewas pada Jun iaitu lebih tiga bulan yang lalu. Saya bangga dengan persembahan yang ditunjukkan para pemain. Ia momentum yang bagus untuk pasukan dan keyakinan berada pada tahap tinggi.
"Tetapi, kita kena memahami bahawa setiap perlawanan adalah cabaran yang berbeza dan kita tengok apa yang akan berlaku esok. Tetapi, saya yakin dengan pasukan saya dan sudah tentu pemain akan beraksi dengan baik untuk cuba mengejutkan lawan,"katanya dalam sidang akhbar pra perlawanan pada Selasa.
Steinbruckner juga menegaskan sudah mempunyai strategi tersendiri berdepan pasukan Australia itu yang memiliki kelebihan dari segenap sudut.
Dalam pada itu, pengendali Central Coast Mariners, Abbas Saad tidak memandang rendah kemampuan TFC walaupun pasukan kendaliannya merupakan pilihan untuk meraih tiga mata berharga.
"Corak permainan TFC ini adalah baik kerana mereka juga berjaya menjadi naib juara liga musim lalu. Sudah tentu mereka mempunyai kemampuan untuk melakukan kejutan.
"Saya nasihatkan pemain berhati-hati dan tidak ambil mudah perlawanan tersebut," katanya.