LONDON - Beribu-ribu perunding Perkhidmatan Kesihatan Negara (NHS) melancarkan mogok di seluruh England ekoran pertikaian mengenai gaji ketika perkhidmatan kesihatan negara itu berdepan satu lagi gelombang tindakan industri, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Mogok pada Rabu itu akan disertai golongan doktor muda, kali pertama dalam sejarah NHS.
Doktor muda yang telah mengadakan mogok 19 hari sejak Mac, akan meneruskan mogok mereka pada Khamis dan Jumaat minggu ini.
Kedua-dua pakar perunding dan doktor muda Persatuan Perubatan British (BMA) sekali lagi bergabung dan melancarkan mogok pada 2 hingga 4 Okt.
Beribu-ribu operasi dan pelantikan telah dibatalkan akibat mogok, dengan NHS memberi amaran bahawa sesetengah temujanji pesakit terpaksa dijadualkan semula sehingga tiga kali.
Kerajaan menggariskan rancangan untuk melanjutkan undang-undang mogok bagi memastikan doktor dan jururawat di hospital menyediakan tahap perlindungan minimum.
Peraturan baharu itu, yang terbuka kepada rundingan, bermakna doktor dan jururawat perlu menyediakan tahap perlindungan tertentu selepas diberikan"notis kerja" oleh majikan mengenai perkara yang diperlukan untuk mengekalkan"tahap perkhidmatan yang perlu dan selamat".
Perundingan mengenai tahap perkhidmatan minimum telah pun dijalankan untuk kakitangan ambulans, perkhidmatan bomba dan penyelamat serta pekerja kereta api penumpang, selepas Akta Mogok (Tahap Perkhidmatan Minimum) dikuat kuasa menjadi undang-undang. - Bernama.