Tiada arahan larang IPTA sertai program anjuran pembangkang - KPT

Iklan
KPT tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan melarang mana-mana IPTA terlibat dengan sebarang program dianjurkan pembangkang. Gambar hiasan.

NILAI - Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan melarang mana-mana institusi pengajian tinggi awam (IPTA) terlibat dengan sebarang program dianjurkan kerajaan negeri pembangkang.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata, pihaknya terbuka selain sentiasa mengalu-alukan program yang memberi nilai tambah dan memperkasakan universiti serta mahasiswa, namun ia perlu mengikut peraturan yang ditetapkan.

Iklan
Iklan

"Ia tidak benar (larangan IPTA terlibat program) ... kalau tanya universiti contohnya di Johor, Sabah dan Sarawak memang tak ada, saya tak tahu arahan mana dia dengar. Setakat yang saya tahu kita tak pernah keluar arahan itu, kalau sesiapa nak sertai, kena ikut peraturan dan minta kebenaran.

"Contoh kalau nak masuk universiti (penganjur) kena ikut garis panduan, saya pun masuk mana-mana IPT tak boleh suka-suka, kena ada jemputan, nak lakukan apa-apa kena ada kebenaran daripada mereka. Jadi kita ikut prosedur, tak ada masalah kalau peraturan dipatuhi,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Komemoratif Kolej Komuniti yang diadakan selama empat hari bermula semalam membabitkan kira-kira 6,300 graduan di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi serta Sains, Teknologi dan Inovasi Kedah Dr Haim Hilman Abdullah yang meminta penjelasan KPT tentang perkara berkenaan yang didakwa berlaku di Kedah seperti yang dilaporkan media baru-baru ini.

Iklan

Sementara itu, Mohammad Yusof berkata KPT komited untuk memperkasakan kolej komuniti di seluruh negara sekali gus menjadi institusi yang benar-benar mampu mendayaupayakan masyarakat setempat.

Beliau berkata, untuk tujuan itu, pihaknya antara lain turut melantik Pengerusi Jawatankuasa Penasihat yang membezakan kolej komuniti dengan IPT lain yang dipengerusikan oleh pemimpin di kawasan komuniti itu sendiri.

"Menteri KPT (Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin) ada beri pandangan serta cadangan kaedah untuk perkasa kolej supaya lebih selari dengan keperluan industri setempat. Setelah lihat situasi terkini, kita nampak Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan menjamin pasaran kerja,” katanya.

Mohammad Yusof berkata, sebanyak 132,094 graduan kolej komuniti dilahirkan sejak ditubuhkan pada 2001 hingga April lepas dengan lebih 96 peratus mendapat pekerjaan selepas mengikuti program sijil dan diploma di pusat pengajian berkenaan.

Beliau berkata, bagi memperkasakan TVET juga, kementerian turut memperkenalkan program kelayakan mikro di tiga kolej komuniti iaitu di Pasir Gudang, Segamat dan Bandar Penawar di Johor sebagai perintis selain akan memperluas program itu di kolej komuniti lain termasuk Sabah dan Sarawak.

Dalam pada itu, beliau berkata, kolej komuniti merupakan institusi untuk semua mempelopori minat dan kemahiran baharu, khususnya kepada golongan belia serta yang berusia selain menyediakan dasar pengambilan secara terbuka.

"Justeru, medan Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) telah menjadi pelonjak serta pemangkin kesejahteraan, secara tidak langsung mampu menaik taraf masyarakat sekitar serta komuniti setempat. Mudah-mudahan Kolej Komuniti dapat meneruskan agenda ‘merakyatkan ilmu’ supaya bangsa dan watan dapat diperkasakan,” katanya.

Jelasnya, penglibatan secara langsung daripada industri juga perlu diperkukuh selain kementerian sentiasa berusaha mewujudkan lebih banyak program kolaborasi dengan industri supaya usaha pemadanan kerja bersesuaian dengan kelayakan dapat disinergikan.

Dalam pada itu, beliau berkata, KPT akan meneliti dakwaan membabitkan polisi baki sifar iaitu yang mensyaratkan setiap mahasiswa menjelaskan yuran semester terlebih dahulu sebelum dibenarkan mendaftar subjek di sebuah universiti awam tempatan seperti yang tular menerusi laman sosial sejak semalam. - Bernama.