RUU Pendanaan Politik: Perlu tetap garis masa pelaksanaan skop dasar

Iklan

SHAH ALAM – Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi (JKPK) perlu menetapkan garis masa tertentu bagi pelaksanaan penetapan skop dasar Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan pendanaan politik.

Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya bersedia untuk membantu usaha JKPK dalam proses ini dengan menyumbang draf RUU yang telah dirangka.

Iklan
Iklan

Menurut KRPPM, pembentangan RUU Pendanaan Politik ini tidak boleh dilengahkan lagi.

"KRPPM juga bersetuju dengan tujuh perkara yang disebut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Dr Azalina Othman Said walaupun terdapat satu unsur penting tidak dinyatakan, iaitu pendanaan awam,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Iklan

Tambahnya, pendanaan awam merupakan satu sistem di mana kerajaan memperuntukkan sejumlah wang untuk membiayai perbelanjaan aktiviti parti-parti politik.

"Sistem pendanaan awam ini mampu mendorong kepada kesaksamaan antara parti-parti politik dan mengurangkan kebergantungan kepada penderma swasta,” kata kenyataan itu pada Selasa.

Iklan

Jelas kenyataan itu lagi, meskipun pelaksanaan sistem pendanaan awam dijangka melibatkan kos perbelanjaan kerajaan, namun ia boleh dilaksanakan demi kelestarian jangka panjang demokrasi di Malaysia.

Dalam pengumuman yang dibuat Azalina pada Isnin, Jemaah Menteri menetapkan tujuh pertimbangan ketetapan dasar berkaitan RUU Pendanaan Politik antaranya mewujudkan undang-undang baharu bagi mengawal selia sumbangan politik

Menurutnya, kabinet juga bersetuju agar skop dasar RUU berkaitan pendanaan politik itu dirujuk kepada JKPK di Dewan Rakyat pada 8 September lalu.

Beliau berkata, perkara itu kemudian diangkat untuk pertimbangan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul pada 13 September lalu.