Jualan Rahmah: KPDN teroka usaha tawar beras import kadar subsidi

Iklan
Armizan ketika sidang media selepas Ops JAMIN di Pasar Raya Sri Ternak, Selayang pada Selasa. - Foto: Bernama
KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan berusaha untuk menawarkan beras import yang dijual pada kadar subsidi menerusi Jualan Rahmah.

Pemangku Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, usaha itu bagi membolehkan adanya peningkatan jualan dan penambahan bekalan beras semasa Jualan Rahmah diadakan.

"Dalam Jualan Rahmah itu kita akan memperbanyakkan bekalan beras pada kadar subsidi, bermaksud kita tambah bekalan (beras) setiap kali ia diadakan," katanya pada sidang akhbar selepas melakukan tinjauan di dua pasar raya sekitar Selayang pada Selasa.

KPDN telah melaksanakan program Jualan Rahmah sebanyak dua kali sebulan di 640 lokasi di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara sejak Ogos.

Sebelum itu, Jualan Rahmah hanya dilaksanakan sebulan sekali di peringkat DUN dan dua kali sebulan bagi peringkat Parlimen.

Mengenai Ops Jamin, Armizan berkata, bagi tempoh 7 Julai hingga 18 September ini, sebanyak 6,141 pemeriksaan telah dilakukan di seluruh negara melibatkan pelbagai peringkat rantaian pengedaran.

Katanya, sebanyak 175 aduan melibatkan aduan harga, bekalan dan lain-lain berkaitan beras diterima dalam tempoh sama, selain telah disalurkan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk tindakan lanjut.

"Berdasarkan pemantauan yang dilakukan, harga purata tertinggi beras putih import (BPI) di Semenanjung Malaysia adalah RM40.65, manakala harga purata BPI di Sarawak adalah RM39.21, Sabah RM37.09 dan Labuan pula RM37.83," katanya.

Ops Jamin dilancarkan bagi membanteras isu penukaran label kampit beras yang dikhuatiri berlaku berikutan pelarasan harga baharu BPI. - Bernama