Tonik tambahan buat Ee Yi-Yew Sin menjelang Sukan Asia Hangzhou 2022

Iklan
Yew Sin (kiri) dan Ee Yi antara pemain badminton yang menggalas cabaran negara di Sukan Asia Hangzhou 2022.

PELUANG menjalani kem latihan pusat bersama pemain Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, ternyata memberi tonik tambahan buat beregu profesional negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin menjelang Sukan Asia Hangzhou 2022.

Yew Sin berkata, peluang yang diberikan itu mampu meningkatkan keyakinan mereka kerana dapat berlatih bersama pasangan nombor lima dunia, Aaron Chia-Soh Woi Yik sebagai rakan sparring untuk membuat persiapan terbaik sebelum bersaing pada temasya sukan empat tahun sekali itu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, suasana di pusat latihan itu juga mampu menyuntik semangatnya dan Ee Yi memandangkan venue tersebut bukan asing buat mereka yang sebelum ini pernah menjadi pemain di bawah naungan BAM.

"Saya rasa teruja untuk berlatih di sini sebab ini tempat saya berlatih daripada remaja sampai sekarang. Teruja jumpa kawan-kawan yang lain dan berlatih semula dengan pemain BAM.

Iklan

"Hari ini baru hari pertama, semuanya lancar dan saya harap seminggu ini kita dapat persiapkan diri dengan lebih baik,” katanya kepada pemberita selepas menjalani latihan di ABM pada Selasa.

Pasangan itu yang kini menduduki ranking kesembilan dunia sebelum ini pernah beberapa kali menjalani latihan mingguan di ABM sejak ‘dilepaskan’ BAM pada awal Januari 2020.

Iklan

Selain Ee Yi-Yew Sin, kem latihan tersebut turut disertai beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie, perseorangan wanita Goh Jin Wei dan perseorangan lelaki, Cheam Jun Wei. - Bernama