SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Anjing pengesan milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Blake terpaksa ditidurkan (euthanized) pada jam 4.38 petang Isnin selepas dikesan menghidapi barah.
Blake yang juga dikenali antara hero terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa insiden tanah runtuh di Batang Kali, Selangor pada Disember tahun lepas, didiagnosis menghidap barah limfoma tahap empat pada 15 Ogos lalu.
Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan, Blake telah dimasukkan sekali lagi ke wad Anjing Kesayangan di Fakulti Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 14 September apabila didapati hilang selera makan dan kelesuan selain untuk mendapatkan perkembangan berkaitan barah dihadapi anjing tersebut.
"Sepanjang berada di wad untuk menjalani pemeriksaan kesihatan, anjing ini gagal memberi respons kepada ubat dan rawatan yang telah diberikan oleh pihak veterinar.
"Ia memandangkan kesihatannya yang merosot secara mendadak, tiada harapan dipulihkan serta mengelakkan anjing ini menderita dari kesakitan selain mengambil kira kebajikan anjing tersebut,” jelas kenyataan itu.
Blake merupakan anjing baka English Springer Spaniel yang berasal dari United Kingdom dan merupakan perolehan JBPM pada 2017.
Anjing pengesan itu telah banyak menyumbang kepada kejayaan operasi pencarian yang dijalankan oleh JBPM di seluruh negara, antaranya mengesan mangsa lemas di Tol Batu 13, Lorong 16, Kampung Kenangan, Selangor.
Selain itu, Blake juga terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) kepala air di Titi Hayun dekat Yan, Kedah dan operasi mengesan mangsa tertimbus di Kampung Temelong, Karak di Pahang.
"Kehilangan Blake sudah pastinya dirasai oleh seluruh warga JBPM dan khidmat bakti yang telah disumbangkan sepanjang berkhidmat akan sentiasa dihargai dan dikenang. Selamat jalan Blake,” katanya.