Biar Pan-gon ambil alih Harimau Muda

Iklan
Laporan Sukan Sinar pada Isnin.

PENGENDALI Harimau Malaya, Kim Pan-gon dilihat calon paling sesuai untuk turut mengemudi pasukan bola sepak Bawah 23 tahun (B-23) negara selepas E Elavarasan meletakkan jawatan pada Isnin.

Jurulatih berpengalaman, Mohd Fauzi Pilus berkata, kepakaran Pan-gon amat diperlukan untuk turut membentuk Harimau Muda selain mengetahui masalah dalam pasukan Harimau Muda kerana Elavarasan juga merupakan pembantunya dalam skuad senior negara.

Iklan
Iklan

Malah, Fauzi juga percaya pendekatan itu memudahkan sebarang penerapan falsafah atau corak permainan kepada pemain muda negara menjelang pusingan akhir Piala Asia B-23 2024 di Qatar yang berbaki tujuh bulan lagi.

Tambah Fauzi, DNA Korea jelmaan Pan-gon tampak menjadi untuk skuad Harimau Malaya juga dapat membantu dalam meningkatkan corak permainan Harimau Muda.

Iklan

"FAM mungkin hanya perlu mengambil beberapa orang penolong jurulatih untuk Pan-gon bagi tugasan B-23 itu namun perlu dirujuk terus kepada perancangan Pan-gon.

"Buat apa kita nak ambil daripada luar lagi sedangkan Pan-gon sudah ada di situ. Kalau ambil jurulatih lain, mungkin corak atau pendekatan akan berbeza daripada Pan-gon yang turut akan menjejaskan usaha membentuk pelapis untuk pasukan senior,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Iklan
Kim Pan-gon

Pada Isnin, Elavarasan meletakkan jawatan selaku pengendali B-23 walaupun membawa skuad muda negara mara ke Piala Asia B-23 2024 di Qatar.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkata, pengganti kepada pengendali berusia 61 tahun itu akan diumumkan selepas beberapa penelitian dan perbincangan dengan pihak yang terlibat.

Dalam pada itu, Fauzi menegaskan terdapat banyak kelebihan yang akan diperolehi terutama kepada pasukan kebangsaan sekiranya Pan-gon diberikan akses untuk mengemudi pasukan muda negara.

"Kalau nak mudah, Pan-gon akan turun sendiri sehingga ke peringkat B-23 atau B-19 dan dengan bantuan penolong, 'department' dia akan pantau semua. Jadi, dia akan dapat mengenal pasti mana pemain yang betul-betul bagus untuk diserapkan dalam pasukan kebangsaan.

"Bagi saya, ia lebih efektif dan pemain yang dipilih di peringkat muda ini semuanya sudah memahami konsep yang dimahukan Pan-gon. Saya yakin ia juga akan memberikan kesan ketara untuk jangka masa panjang,” katanya.