Ramuan sambar Jersi Putih LTdL 2023

Iklan
Barisan enam pelumba yang akan menggalas cabaran Malaysia pada LTdL 2023. Gambar kecil: MOHD YUSOF

SKUAD kebangsaan Malaysia memiliki ramuan tersendiri dalam misi memburu Jersi Putih pada perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 yang dijadualkan berlangsung dari 23 hingga 30 September ini.

Taruhan utama terarah kepada empat bekas pelumba Team Sapura Cycling (TSC) diketuai Muhamad Zawawi Azman, Muhsin Al Redha Misbah, Muhammad Nur Aiman Rosli dan Muhammad Shaiful Adlan Shukri.

Iklan
Iklan

Malah, skuad kebangsaan Malaysia sudah pasti menyandarkan sandaran kepada pengalaman pelumba Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Izzat Hilmi Abdul Halil yang bakal membuat penampilan kali kelima di pentas LTdL.

Bagi menambah kekuatan sedia ada, pendatang baharu yang menjadi aset Majlis Sukan Negara (MSN), Zulhelmi Zainal turut disenaraikan bagi menggalas cabaran pasukan kebangsaan Malaysia pada LTdL 2023.

Iklan

Jurulatih Malaysia, Mohd Yusof Nasir berkata, barisan pelumba yang dipilih kali ini memiliki kelebihan masing-masing bagi menyambar gelaran pelumba terbaik Asia (Jersi Putih).

"Kalau kita mahu mencabar untuk jersi (Jersi Putih), saya melihat dua peringkat itu iaitu di Genting (Highlands) serta Jeli (ke Baling) kerana kedua-dua laluan itu berbukit panjang.

Iklan

"Bagi saya realistik (Jersi Putih) kerana Thailand pernah naik juga podium sebagai pasukan terbaik, jadi kenapa kita tak boleh, kita tak jauh beza (dengan Thailand), kita cuba yang terbaik.

"Saya tak berani janji tetapi saya dapat janjikan yang para pelumba dapat berikan saingan kompetitif kerana mereka inginkan kemenangan,” katanya kepada pemberita di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil pada Selasa.

Untuk rekod, Sapura - pasukan profesional benua tempatan pernah mencipta sensasi menyambar gelaran juara keseluruhan (Jersi Kuning) LTdL pada edisi 2019 menerusi Benjamin Dyball dan Danilo Celano (2020).

Bagaimanapun, Sapura yang diasaskan bekas pelumba negara, Sayuti Zahit pada 2017 terpaksa dibubarkan mulai tahun ini susulan berdepan dengan masalah kewangan.

"Sudah tentu Sapura banyak melahirkan ramai pelumba tempatan berbakat, antaranya mereka yang membarisi pasukan kebangsaan Malaysia pada LTdL tahun ini.

"Jadi ini peluang terbaik buat mereka mencipta sesuatu biarpun kali pertama beraksi pada LTdL. Harap mereka mampu menghadirkan keputusan positif dalam setiap peringkat perlumbaan,” jelas Mohd Yusuf.

Untuk rekod, Izzat Hilmi merupakan satu-satunya pelumba yang kekal memperkasa skuad kebangsaan Malaysia pada perlumbaan LTdL 2023 yang memasuki edisi ke-27 tahun ini.

Pada edisi 2022, Izzat Hilmi yang juga pernah menyarung jersi Sapura, muncul pelumba terbaik Malaysia dan Asia di Peringkat 2 dari Kuala Klawang ke Raub dan Peringkat 6 (Georgetown-Alor Setar).

LTdL 2023 akan bermula dengan Peringkat 1 dari Kerteh ke Kuala Terengganu sejauh 184.4 kilometer (km); Peringkat 2 Kuala Terengganu ke Kota Bharu (186.2km); Peringkat 3 Jeli ke Baling (177.1km) dan Peringkat 4 Bukit Mertajam ke Meru Raya (140km).

Peringkat 5 diteruskan dari Slim River ke Genting Highlands (133.3km); Peringkat 6 Karak ke Melaka (176.6km); Peringkat 7 Muar ke Seremban 2 (125.7km) dan Peringkat 8 Setia Alam ke Kuala Lumpur sejauh 157km.