MELAKA - [DIKEMAS KINI] Dua lelaki Rohingya diberkas polis selepas disyaki merogol seorang pelajar Tingkatan Tiga di dalam sebuah kereta sebelum meninggalkan mangsa di taman permainan di Batu Berendam, di sini Khamis lalu.
Mangsa berusia 15 tahun dirogol secara bergilir-gilir oleh kedua-dua suspek masing-masing berusia 14 dan 27 tahun di tepi Pantai Klebang pada Khamis lalu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, laporan polis telah dibuat oleh abang mangsa sehari selepas kejadian, sebelum kedua-dua suspek berjaya diberkas dalam tempoh 24 jam.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa baru sehari mengenali salah seorang suspek yang berusia 14 tahun menerusi aplikasi WhatsApp.
"Mangsa keluar rumah pada jam 2 petang pada 14 September lalu untuk bersiar-siar dengan rakan lelaki yang baharu dikenalinya itu dengan membonceng motosikal.
"Mangsa kemudian dibawa bersiar-siar menaiki sebuah kereta jenis Proton Preve di kawasan Pantai Klebang sebelum dirogol oleh kedua-dua individu terbabit.