Isu DNAA Zahid: Penjelasan yang ditunggu-tunggu

Iklan
Anwar ketika sesi perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12) di Dewan Rakyat pada Selasa. Foto: Bernama

PERSOALAN mengenai keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi akhirnya terjawab pada Selasa.

Bagaimanapun, penjelasan yang diberikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat nampaknya masih belum memuaskan hati sebahagian ahli Parlimen.

Iklan
Iklan

Anwar yang juga Menteri Kewangan sekali lagi menegaskan bahawa beliau tidak campur tangan dalam keputusan berkenaan.

Menurutnya, tiada sebarang perjumpaan yang dilakukan melibatkan beliau dengan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun sebaliknya, hanya meminta penjelasan berhubung keputusan tersebut.

Iklan

Anwar menerangkan, keputusan DNAA Ahmad Zahid terletak di bawah kuasa budi bicara Peguam Negara dan tidak boleh dipersoalkan, yang mana ia berdasarkan prinsip undang-undang yang mantap (trite law) serta telah diputuskan secara konsisten dalam kes-kes mahkamah tertinggi di negara ini.

Prinsip undang-undang itu ujarnya, adalah sama seperti kes Long bin Samat vs PP (1974), Johnson Tan Han Seng vs PP (1977), Public Prosecutor vs Zainuddin & Anor (1986) dan Karpal Singh vs Anor Public Prosecutor (1991).

Iklan

Anwar menegaskan, ini bukanlah kali pertama suatu pertuduhan diberhentikan selepas prima facie dibuktikan sambil memberikan contoh kes Pendakwa Raya lawan Siti Aisyah & Doan Thi Huong dalam pembunuhan abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un iaitu Kim Jong Nam.

Penjelasan itu dibuat memandangkan terdapat dakwaan sesetengah pihak yang tidak berpuas hati dan menyatakan ia suatu hal baharu serta seolah-olah Perdana Menteri campur tangan dalam kes Ahmad Zahid.

Penganalisis politik juga berpandangan Anwar wajar untuk memberikan penjelasan tersebut sebagai bukti Kerajaan Perpaduan amat telus, selain tidak mencalarkan kewibawaan kepimpinan negara.

Bagaimanapun, penjelasan Anwar ketika sesi petang Dewan Rakyat itu dilihat masih belum cukup untuk menutup persepsi orang ramai bahawa terdapat campur tangan dalam kes berkenaan.

Oleh yang demikian, pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya perlu disegerakan bagi memastikan integriti institusi perundangan terpelihara, sekali gus meredakan kemelut yang melanda dunia politik negara.