SHAH ALAM - Kes melepas tanpa membebaskan (DNAA) melibatkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi gambaran adanya 'bibit-bibit' pendakwaan terpilih (selective prosecution).
Peguambela, Datuk Hasnal Rezua Merican berkata, tindakan Peguam Negara yang membuat keputusan tersebut perlu diperhalusi dengan lebih baik.
Beliau berkata demikian sewaktu menjadi panelis dalam program Wacana Sinar siri ke-413 yang bertajuk DNAA: Dilema Keputusan Pendakwa Raya, di Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini pada Selasa.
Program itu dihoskan Ismail Adnan dan turut disertai Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Seri Wan Saiful Wan Jan; Peguam, Haniff Khatri Abdulla dan Pengerusi Biro Undang-Undang, Anti-Rasuah dan Integriti Parti Putra, Zarina Zainal Abidin.
Ditanya mengenai pengaruh orang awam yang sebahagiannya tidak bersetuju dengan keputusan DNAA tersebut, Hasnal menerangkan, perkara itu sangat jarang mempengaruhi apa-apa keputusan di peringkat eksekutif, legislatif atau kehakiman.
"Tiada apa yang berubah, jadi saya beranggapan bahawa ini adalah satu episod yang berlaku dalam masyarakat dan saya tidak berminat untuk bercerita mengenai aspek politik dalam perkara ini.
"Hal ini kerana perkara yang sedang dibincangkan adalah sama ada keputusan Peguam Negara boleh dipertahankan atau tidak.
"Kalau ia menimbulkan kemarahan rakyat dan nak mengubah perkara tersebut, apa yang nak diubah? Adakah dengan menidakkan kuasa Peguam Negara?” soalnya.