JUARA bertahan, Manchester City bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk mengatasi Red Star Belgrade 3-1 dalam aksi pembukaan Kumpulan G dengan Julian Alvarez menjaringkan dua gol di Etihad pada Rabu.
Skuad kendalian Pep Guardiola itu mendominasi sejak perlawanan bermula, tetapi gagal menyudahkan peluang dan dihukum dengan kesilapan pertahanan yang menyaksikan Osman Bukari menjaringkan gol untuk Red Star pada penghujung separuh masa pertama.
Iklan
Iklan
City memulakan perlawanan dengan rekod 26 perlawanan tanpa kalah dalam perlawanan di tempat sendiri Liga Juara-Juara dan bangkit dengan gol daripada Alvarez dua minit selepas babak kedua bersambung.
Penjaga gol Red Star, Omri Glazer gagal membaca hantaran lintang Alvarez yang terus menerjah gawang pasukan itu dan Rodri menjadikan kedudukan 3-1 dengan penamat klinikal pada minit ke-73 ketika City mencatatkan 19 kemenangan berturut-turut di tempat sendiri dalam semua pertandingan.
"Dua perlawanan terakhir, saya tidak tahu berapa banyak peluang yang kami lepaskan.
"Kami bermain sangat, sangat bagus tetapi kami tidak dapat menjaringkan gol. Kami konsisten dan akhirnya kami memenangi perlawanan itu.
"Pada separuh masa, saya berkata kepada pemain bahawa mereka tidak bermain teruk. Lupakan aksi separuh masa pertama dan yakin boleh bangkit dan lakukannya dengan tenang," katanya.