'Ulat' kenakan tambang mahal sasar pelancong asing

Iklan
Antara kenderaan yang dikesan menjalankan kegiatan ulat ketika operasi dijalankan JPJ Selangor di KLIA di sini.

SEPANG - Menyasarkan pelancong warga asing serta memanipulasikan harga tambang antara taktik dikesan digunakan pemandu kereta sewa haram atau 'ulat' bagi mendapatkan penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.

Tiga daripada lima individu ditahan dikesan menggunakan teksi dengan memberi alasan mahu mendapatkan hasil lebih.

Iklan
Iklan

Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Kamarunzaman Mehat berkata, operasi dijalankan melibatkan hasil risikan dan aduan daripada orang awam.

Menurut beliau, lima tangkapan dijalankan melibatkan individu berumur antara 31 hingga 56 tahun dikesan menggunakan teksi dan kenderaan persendirian menerusi operasi dijalankan bermula jam 5 hingga 10 pagi itu.

Iklan

"Antara kesalahan dikesan adalah memujuk, merayu dan menawarkan perkhidmatan pengangkutan kepada penumpang bukan warganegara Malaysia dari Terminal 1 dan 2 KLIA dengan kadar tambang yang tidak munasabah.

"Bayaran dikenakan sekitar RM100 bagi perjalanan melibatkan KLIA ke Klang Lama, KLIA ke Puchong (RM80), KLIA2 ke KLIA1 (RM40) dan KLIA ke Amcorp Mall, PJ (RM150) yang mana bayaran akan dikenakan apabila tiba di lokasi yang dituju," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Iklan

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 205 (1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

"Orang awam dinasihatkan agar menggunakan perkhidmatan pengangkutan yang sah sama ada melalui kaunter perkhidmatan yang disediakan di KLIA/KLIA 2 atau membuat tempahan melalui aplikasi e-hailing.

"Penguatkuasaan sentiasa dijalankan berterusan dan tindakan tegas akan diambil ke atas pemandu atau pemilik kenderaan yang menawarkan perkhidmatan kereta sewa tidak berlesen atau secara haram," katanya.