PENJAGA gol, Ivan Provedel muncul wira apabila meledak gol penyamaan ketika membantu Lazio mengikat Atletico Madrid 1-1 dalam saingan Kumpulan E Liga Juara-Juara awal pagi Rabu.
Jaringan pada saat akhir itu membuatkan pemain Atletico terkedu ketika wakil dari Sepanyol tersebut sudah berkira-kira untuk membawa pulang tiga mata.
Aksi mengagumkan itu meletakkan namanya dalam sejarah Liga Juara-Juara apabila muncul penjaga gawang kedua menyumbat gol menerusi permainan terbuka pada kejohanan tersebut.
Penjaga gol Standard Liege, Sinan Bolat muncul pemain pertama apabila dia menanduk masuk gol lewat permainan menentang AZ Alkmaar di peringkat kumpulan pada Disember 2021.
Dalam aksi di Stadium Olympic, Rom itu, Atletico terlebih dahulu di depan menerusi jaringan Pablo Barrios pada babak pertama.
Bagaimanapun, situasi berubah apabila penjaga gol berusia 29 tahun itu meninggalkan kawasan golnya untuk menyertai barisan serangan susulan satu sepakan sudut.
Sepakan sudut itu pada awalnya dikeluarkan oleh pemain pertahanan Atletico, namun ia singgah semula di kaki pemain Lazio yang kemudian melorongkan bola kepada Luis Alberto.
Pemain tengah itu melakukan hantaran silang yang melepasi semua pemain sebelum menemui Provedel yang melonjak tinggi dan menanduk kencang melepasi penjaga gol lawan, Jan Oblak untuk gol penyamaan pada minit ke-95.