Sultan Mizan rasmi Bangunan Kompleks Pentadbiran MBKT

Iklan
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin mencemar duli merasmikan bangunan Kompleks Pentadbiran Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT),

KUALA TERENGGANU - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin mencemar duli merasmikan bangunan Kompleks Pentadbiran Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), dekat sini, pada Rabu.

Turut berkenan berangkat pada upacara itu ialah Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

Iklan
Iklan

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bangunan itu akan memberi manfaat yang besar kepada warga MBKT dan khidmat terbaik terhadap masyarakat.

Menurutnya, bangunan Kompleks Pentadbiran MBKT itu adalah merupakan sebuah bangunan yang tertinggi di negeri ini iaitu setinggi 30 tingkat.

Iklan

"Projek ini dibina dengan kos keseluruhan hampir RM200 juta telah berjaya disiapkan dan mendapat Perakuan Siap Kerja (CPC) pada 4 Julai 2022 serta memperoleh CCC pada 14 November 2022.

"Bangunan Kompleks Pentadbiran tersebut dibina di atas tapak seluas 2.23 hektar dengan keluasan 66,377.20 meter persegi untuk menempatkan hampir 1,000 kakitangan MBKT serta dengan kemudahan fasiliti sokongan," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Bangunan Kompleks Pentadbiran MBKT dan Pameran Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu di sini pada Rabu.

Sementara itu, Ahmad Samsuri menyatakan pameran tersebut yang diadakan di galeri aras bawah, Menara MBKT adalah terbuka kepada orang ramai.

Menurutnya, pameran berkenaan mempamerkan barang-barang bersejarah sepanjang pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu yang dijalankan selama sebulan bermula pada 20 September hingga 20 Oktober depan.

"Pameran ini juga turut mempamerkan gambar detik-detik bersejarah mengenai Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu sejak menaiki takhta sebagai Sultan Terengganu.

"Sesungguhnya menerusi pameran ini, diharapkan menambahkan pengetahuan orang ramai mengenai sistem beraja terutama di kalangan generasi muda yang ada pada hari ini," ujarnya.