[VIDEO] Dua maut, lori rempuh 11 kenderaan di Putrajaya

Iklan

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Sebuah lori dipercayai telah mengubah laluan dari lorong tengah ke kiri sebelum merempuh 11 buah kenderaan termasuk sebuah motosikal pengiring polis dalam nahas di Kilometer 5.7 Jalan Persiaran Utara di sini pada Rabu.

Kejadian kira-kira jam 10.14 pagi itu melibatkan enam kereta, dua lori, tiga motosikal dan sebuah motosikal polis trafik, dengan satu daripada lori terlibat dipercayai melanggar kenderaan yang sedang berhenti dalam barisan di jalan tersebut.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, akibat kemalangan itu dua individu maut di tempat kejadian.

Iklan
Iklan
Dua individu maut dalam nahas melibatkan enam kenderaan di Persiaran Utara menghala ke Presint 12 pada Rabu.

"Semakan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian menghala ke Puchong berhampiran susur keluar Persiaran Timur itu mendapati sebuah lori dari arah belakang dipercayai telah mengubah haluan sebelum merempuh beberapa buah kenderaan yang berhenti di lokasi.

"Rempuhan berkenaan mengakibatkan dua individu maut manakala beberapa individu lain mengalami kecederaan," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Iklan

Katanya, pemandu lori tersebut kini ditahan untuk siasatan lanjut.

"Pemandu lori terlibat akan diambil saringan air kencing untuk tindakan selanjutnya.

Iklan

"Beberapa individu lain yang mengalami kecederaan telah dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Putrajaya dan Hospital Serdang," katanya.

Menurutnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.