Pasaran kerja Malaysia stabil, tiada perubahan besar gaji - JobStreet

Iklan
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR - Pasaran kerja di Malaysia kini semakin stabil, dengan gaji median merentas kebanyakan sektor melaporkan tiada perubahan besar dari tahun sebelumnya, kata platform pekerjaan dalam talian, JobStreet.

Menurut Panduan Gaji 2023 yang terkini, JobStreet berkata, industri komputer dan teknologi maklumat (IT) menyaksikan pertumbuhan gaji median tertinggi, dengan peningkatan 28 peratus kepada RM4,800 daripada RM3,750 sebelumnya.

Iklan
Iklan

Pakar komputer dan IT juga memperoleh gaji median tertinggi di antara semua pengkhususan iaitu sebanyak RM6,000.

Pengarah Urusan JobStreet Malaysia Vic Sithasanan berkata, tumpuan Malaysia yang lebih tinggi terhadap inisiatif transformasi digital, dirangsang oleh desakan berterusan kerajaan dalam bidang itu, berkemungkinan menjadi punca lonjakan dalam permintaan untuk profesional IT.

Iklan

"Bagaimanapun, pemberhentian pekerja yang memberi kesan kepada syarikat teknologi utama di seluruh dunia pada awal tahun ini juga jelas menunjukkan bahawa pertumbuhan ini mungkin tidak boleh bertahan dalam jangka panjang.

"Sebaik-baiknya, pembaharuan dalam pendidikan perlu dilaksanakan untuk meletakkan asas yang kukuh bagi melahirkan lebih ramai pakar IT yang mahir dalam jangka panjang,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Walaupun tahap gaji median adalah konsisten dari tahun ke tahun (y-o-y), peningkatan kos sara hidup masih menjadi kebimbangan, justeru terdapat peningkatan tumpuan terhadap gaji dalam kalangan pencari kerja hari ini, kata Sithasanan.

Beliau juga menyatakan mencari dan merekrut bakat terbaik terus menjadi cabaran bagi semua syarikat, terutamanya bagi peranan yang sangat khusus atau sukar untuk diisi.

"Sepanjang tahun lalu, kami mencatatkan peningkatan sebanyak 10 peratus dalam permohonan pekerjaan melalui JobStreet Malaysia, menunjukkan bahawa lebih ramai rakyat Malaysia sedang mencari peluang baharu, dan perniagaan perlu mencari cara untuk menyerlahkan diri sebagai majikan pilihan agar dapat merekrut dan mengekalkan bakat berkualiti,” katanya.

Sementara itu, JobStreet berkata, walaupun terdapat bilangan iklan pekerjaan yang lebih rendah dalam industri, pampasan untuk jawatan peringkat kemasukan, eksekutif kanan dan peringkat pengurus semuanya mencatatkan peningkatan tahun ke tahun, menyerlahkan permintaan kukuh untuk profesional IT pada peringkat permulaan dan meningkatkan gaji.

Kerjaya komputer dan IT ialah pengkhususan bergaji tertinggi dan industri komputer dan IT korporat menyaksikan pertumbuhan gaji yang tinggi sebanyak 57.4 peratus - jauh mengatasi pertumbuhan gaji kedua tertinggi yang dicatatkan oleh industri perkhidmatan komunikasi (7.7 peratus), katanya.

Sebaliknya, golongan profesional perusahaan kecil dan sederhana yang pakar dalam komputer dan IT mengalami penurunan gaji sebanyak 10.3 peratus.

Industri pembuatan juga mengalami sedikit pertumbuhan, menyiarkan jumlah iklan pekerjaan tertinggi untuk tahun kedua berturut-turut (+12.6 peratus) pada 2023, sejajar dengan pengembangan industri yang stabil dan berterusan, walaupun gaji yang ditawarkan kebanyakannya tidak berubah.

Sementara itu, sektor makanan dan minuman (F&B) merekodkan penurunan gaji di semua peringkat jawatan, kecuali pengurus kanan.

JobStreet berkata eksekutif kanan dalam industri F&B mengalami kejatuhan gaji paling ketara (-18.8 peratus) berbanding semua jawatan lain dalam industri lain, manakala jawatan peringkat permulaan bermula pada tahap yang hampir tidak melebihi gaji minimum pada RM1,600.

Memandangkan kadar pusing ganti industri yang tinggi dan cabaran yang dihadapi oleh majikan dalam merekrut calon yang berkualiti, penurunan pampasan mungkin merupakan faktor penting yang mungkin perlu dipertimbangkan semula oleh perniagaan dalam strategi pengambilan mereka, katanya.

Dikendalikan oleh JobStreet, Panduan Gaji menganalisis data gaji bulanan sepenuh masa yang diekstrak daripada iklan JobStreet dalam pangkalan data dalaman. - Bernama