Hati-hati dengan anasir-anasir yang mengancam akidah umat Islam

Iklan

Perkembangan dunia hari ini yang mengikut arus kemajuan sains dan teknologi tidak dapat dinafikan lagi. Selari dengan itu juga berlaku perkembangan pemikiran moden hasil dari ledakan maklumat yang begitu pantas melalui capaian internet, aplikasi media sosial facebook, intagram, whatsapp, telegram dan sebagainya.

Iklan
Iklan

Kemunculan aliran pemikiran modenisasi, progresif atau liberal yang berasal dari dunia barat mengakibatkan penentangan terhadap agama dan budaya seterusnya memberi ancaman kepada umat Islam.

Kekeliruan dalam pengetahuan agama yang berlaku terutamanya dalam perkara yang melibatkan akidah Islam amat membimbangkan.

Iklan

Kemunculan pelbagai fahaman agama yang menyeleweng termasuk ajaran sesat serta penyebaran fahaman dalam media sosial adalah menjadi ancaman kepada akidah umat Islam di Malaysia.

Kepentingan Akidah

Iklan



Akidah bererti ‘kepercayaan’, ‘keyakinan’ atau ‘keimanan’ yang mantap dan tidak mudah dipengaruhi oleh mana-mana unsur pun sama ada dari dalam atau dari luar diri seseorang.

Akidah Islam menjelaskan konsep rukun iman iaitu beriman kepada Allah SWT, Malaikat, Kitab-kitab-Nya, Nabi dan Rasul, Hari Kiamat serta Qada’ dan Qadar.

Akidah memainkan peranan yang sangat penting bagi mencapai kesejahteraan di dalam kehidupan. Antara peranannya ialah:

- Menjadi pegangan hidup setiap individu.

- Membentuk individu dengan akhlak dan peribadi yang mulia.

- Menjadi benteng pelindung dari melakukan perbuatan yang tidak diredai oleh Allah SWT.

- Menghindarkan diri dari pengaruh ajaran sesat.

- Mendapat rahmat, perlindungan dan kasih sayang dari Allah SWT.

Misi Nabi Muhammad SAW selama 13 tahun di Makkah adalah untuk menanamkan akidah yang kukuh dalam kalangan para sahabat. Akidah ini diumpamakan seperti sebuah pohon yang kukuh tegak berdiri, sepertimana firman Allah SWT di dalam Surah Ibrahim ayat 24 dan 25 yang bermaksud:

"Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit.”

"Dia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya. Dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran).”

Hasil dari tarbiah ini sahabat-sahabat Nabi SAW mengamalkan seluruhnya perintah-perintah Allah SWT dan mereka mampu menjaga negara Islam Madinah kerana akidah mereka sudah kuat.

Senario Ancaman



Pada masa kini akidah umat Islam telah diancam dengan pelbagai fahaman dan ajaran daripada individu atau kumpulan tertentu.

Secara umumnya terdapat dua bentuk penyebaran sesuatu fahaman atau ideologi iaitu melalui media massa atau elektronik dan pengajaran melalui guru mahupun penyampai yang dibuat secara langsung.

Jika dilihat senario yang berlaku pada hari ini, ilmu pengetahuan begitu mudah diperoleh melalui internet.

Kita boleh mengakses apa sahaja bahan ilmiah yang diperlukan namun perlu diingatkan dakyah atau doktrin yang menyimpang dan mengancam akidah sengaja dibuat oleh individu serta golongan tertentu bagi tujuan mendapatkan sokongan, kepercayaan dan pengikut dalam kalangan masyarakat khususnya yang beragama Islam.

Penyebaran ideologi melalui media sosial di Malaysia pula dalam bentuk fahaman seperti liberalisme, Daesh, Indie dan juga dalam bentuk ajaran seperti Syiah, Kristian dan ajaran sesat Ilmu Makrifat, ajaran Aurad Muhammadiah Al-Arqam dan lain-lain.

Fahaman-fahaman atau ajaran-ajaran ini mampu menyebabkan kekeliruan dan menimbulkan tekanan kepada orang awam kerana kesemuanya mendakwa bahawa ajaran mereka sahaja yang benar dan tulen serta relevan pada masa kini.

Sekiranya pegangan akidah tidak kuat dan kukuh, maka akan mudah terpengaruh dengan dakyah dan ideologi sesat mereka. Antara fahaman yang menjadi ancaman kepada akidah umat Islam adalah seperti berikut:

a) Fahaman Liberalisme dan Pluralisme



Liberalisme adalah antara fahaman yang menyeru kepada kebebasan, ingin bebas dan terbuka serta tidak terkongkong kepada satu aliran pemikiran, (Kamus Dewan, 2017).

Manakala fahaman Pluralisme menganggap semua agama adalah sama benar, atau satu agama boleh benar untuk sesetengah agama yang lain.

Kedua-dua fahaman ini tercetus dari negara barat dan mempengaruhi pemikiran masyarakat serta telah menular dalam setiap cabang kehidupan seperti politik, ekonomi mahupun budaya.

Apa yang membimbangkan adalah apabila kedua-dua fahaman liberalisme ini menyelinap masuk dalam diri seseorang yang boleh menjejaskan pegangan agama Islam.

Menurut kajian Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada tahun 2018 di Institusi Islam Selangor, hampir 35 peratus fahaman liberal telah mempengaruhi pemikiran kakitangan awam kerajaan.

Antara gerakan-gerakan aktif yang membawa fahaman liberalisme dan pluralisme di Malaysia adalah Sisters in Islam dan kumpulan G25. Pertubuhan ini sangat aktif dengan hantaran-hantaran berkaitan isu hak asasi wanita Islam di laman media sosial seperti Facebook dan Twitter.

Selain itu, mereka juga terkenal dalam memberikan sokongan yang kuat kepada golongan Lesbian, gay, bisexual, transgender, queer dan intersex (LGBTQi). Pada 17 Julai 2014, SIS telah difatwakan sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam oleh Jawatankuasa Fatwa Selangor.

a) Ajaran Sesat



Ajaran Sesat didefinisikan oleh para pengkaji sebagai:"Sebarang ajaran dan amalan yang didukung oleh orang-orang Islam dan juga orang-orang bukan Islam yang mendakwa ajaran atau amalan tersebut berdasarkan kepada ajaran Islam sedangkan pada hakikatnya ajaran serta amalan itu bertentangan dengan al-Qur’an dan al-Sunnah, bercanggah dengan akidah Islam dan berlawanan pula dengan mazhab yang muktabar iaitu mazhab Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah.” – Jurnal Usuluddin, Bil. 26 (2007).

Menurut beberapa kajian, sesiapa yang terbabit dalam kancah ajaran sesat, akidahnya akan terjejas iaitu ia boleh menyebabkan seseorang itu terjerumus dalam kesyirikan, kadang-kadang ia boleh menyebabkan seseorang itu murtad iaitu terkeluar daripada Islam.

Beberapa kumpulan fahaman atau ajaran sesat yang dikenalpasti memberi ancaman kepada akidah umat Islam disebabkan pegangan atau anutan mereka telah menyeleweng dari ajaran Islam sebenar seperti ajaran Syiah, HIzbut Tahrir, Millah Abraham, Islam Jemaah dan Al-Arqam.

Di antara ciri-ciri yang memberi ancaman adalah seperti berikut:

- Mempercayai Imam (pemimpin) adalah maksum iaitu terpelihara daripada sebarang dosa;

- Berpegang kepada fahaman Qadariyyah;

- Menggabungkan tiga ajaran agama iaitu Islam, Kristian dan Yahudi;

- Berbaiah dengan pemimpin dan mengaku sebagai Amirul Mukminin yang menjadi sumber hukum;

- Mengamalkan Aurad Muhamadiah sebagai suatu formula mengenai cara menjalinkan hubungan hati antara para pengikut dan para pemimpin supaya tetap dengan perjuangan di atas dasar ketaatan dan keikhlasan.

Kumpulan yang dinyatakan tersebut sangat memberi ancaman kepada akidah umat Islam disebabkan pengaruh mereka dan bergerak dalam jemaah yang ramai.

Dakwah dan Solusi



Bagi memastikan masyarakat hidup dalam penghayatan Islam yang sebenar maka ancaman-ancaman terhadap akidah perlu diambil tindakan.

Tindakan penguatkuasaan undang-undang secara profesional amat diperlukan dan ianya sebagai satu tuntutan sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah SWT menerusi firman-Nya yang bermaksud:

"Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan". - (Surah al Hajj ayat 41)

Di dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 3 (1) – Islam ialah agama bagi Persekutuan, tetapi agama- agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.

Ini bermaksud jika ada ancaman terhadap agama Islam maka ia perlu ditangani dengan segera bagi mengangkat agama Islam sebagai agama bagi persekutuan.

Enakmen Kawalan Dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan Negeri Atau Persekutuan Bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan telah digubal bagi mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama bukan Islam di kalangan orang-orang yang menganut agama Islam.

Dalam usaha menangani ancaman akidah melalui penyebaran sesuatu fahaman atau ajaran sesat perlu diberi penekanan mengenai beberapa perkara.

Pertama dari segi status ajaran itu sendiri sama ada sudah difatwakan atau tidak; kedua, membabitkan usaha pencegahan penyebaran dan penguatkuasaan fatwa mengikut peruntukan undang-undang.

Yang ketiga berkaitan dengan usaha pemulihan pengikut ajaran sesat supaya kembali ke pangkal jalan menerusi pemulihan akidah dan kepercayaan.

Pewartaan fatwa sesuatu ajaran sesat perlu dibuat bagi menyekat perkembangan dan dakyah ajaran serta mengikat orang Islam dari terlibat dengan sesuatu fahaman atau ajaran yang telah difatwakan.

Penguatkuasaan undang-undang mengikut peruntukan Enakmen atau Akta Kesalahan Jenayah Syariah bagi negeri-negeri juga dilaksanakan terhadap mereka yang didapati melanggar fatwa tersebut.

Kesalahan-kesalahan yang berkaitan dengan akidah di dalam enakmen seperti pemujaan salah, doktrin palsu dan dakwaan palsu, mempersendakan ayat al-Quran atau hadis, menghina atau menyebabkan dipandang hina agama Islam, menghina pihak berkuasa agama, pendapat yang bertentang dengan fatwa, mengajar agama tanpa tauliah dan penerbitan yang bertentangan dengan hukum syarak.

Selain dari tindakan penguatkuasaan, usaha dakwah membanteras penyelewengan akidah melalui peningkatan ilmu pengetahuan asas fardu ain kepada golongan belia di peringkat sekolah rendah dan menengah hendaklah dilakukan.

Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan JAIS juga seharusnya tidak ketinggalan untuk terlibat secara langsung mengadakan program kerohanian kepada remaja dan golongan yang ditahan supaya dakwah sampai kepada sasaran sebenar.

Di peringkat persekutuan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mewujudkan Institut Pemantapan dan Perkaderan Akidah Malaysia (IPHAM) yang bertanggungjawab dalam aspek akidah di Malaysia.

Institut ini menganjurkan program khusus kepada masyarakat Islam dalam usaha memantapkan akidah berlandaskan Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Terdapat empat program khusus dalam memantapkan akidah remaja iaitu kursus Pemantapan Akidah dan Pemikiran Islam, Kursus Pembangunan Sahsiah dan Pemantapan Akidah, Diskusi Isu-Isu Semasa Akidah dan Wacana Intelektual Akidah menurut Pendekatan Wasatiyyah: Ancaman Ideologi Semasa.

SeharuSnya penekanan terhadap pengajaran dan pembelajaran akidah dalam kalangan masyarakat sejak dari usia muda bagi mendidik umat Islam di Malaysia untuk menghayati dan menghormati agama islam agar imej Islam dapat diperlihatkan melalui akhlak umat Islam yang sebenar.

Institusi pendidikan memainkan peranan yang sangat besar dalam memastikan kesedaran dan penghayatan agama Islam di kalangan murid-murid sekolah rendah.

Di samping itu komitmen dan kerjasama pelbagai lapisan masyarakat seperti institusi kekeluargaan dan NGO perlu bekerjasama dalam melahirkan remaja yang mengikut acuan akidah Islam sebenar.

Penutup



Kewujudan media sosial jelas sekali memberi implikasi sama ada baik atau buruk kepada masyarakat hari ini disebabkan ianya bersifat global, mudah diperoleh dan diikuti.

Pihak berwajib perlu membuat sekatan terhadap media sosial yang mempunyai pengaruh-pengaruh buruk dan merosakkan akidah serta pemikiran umat Islam. Pengaruh-pengaruh yang jelas mengancam akidah umat perlu ditangani dengan kadar segera melalui tindakan penguatkuasaan undang-undang.

Kelemahan dalam menangani kemelut dan kekusutan akidah umat menyebabkan fahaman atau ajaran terus berkembang dan masuk ke kotak fikiran yang sukar dibendung.

Setiap pimpinan masyarakat perlu memberikan peranan dan tanggungjawab masing-masing bagi menyekat pengaruh ajaran dan fahaman yang menyesatkan.