IPOH - Rakyat tiada pilihan terpaksa membeli beras putih import berikutan ketiadaan bekalan beras putih tempatan di pasaran sejak beberapa bulan lalu.
Kemelut bekalan makanan ruji tempatan itu menyebabkan pengguna dan peniaga beralih kepada beras import yang harganya semakin meningkat setiap minggu.
Tinjauan Sinar Harian mendapati stok bagi beras timbang kilo atau dibungkus semula juga sukar didapati di kedai-kedai runcit sekitar Ipoh.
Ibu tunggal, Norwirtayatul Liza Mohd Wadzir, 45, berkata, kos belanja bulanan untuk menyara tiga anak mula meningkat berikutan kenaikan harga beras dan barangan lain.
"Kami memerlukan 15 kilogram (kg) setiap bulan dan stok beras di rumah makin kurang. Biasanya beli beras tempatan harga sekitar RM28 tetapi sekarang ini hampir RM40 bagi 10kg.
"Beras tempatan sudah tidak ada, merata mencari di sekitar Tambun dan Meru Raya. Saya terpaksa beli beras import tetapi kena cari harga yang paling murah. Beras timbang pun sudah tidak ada di kedai-kedai," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Rabu.
Bagi suri rumah, Faridatul Amla Hamid, 60, berkata, harga beras mencecah RM40 bagi 10kg disifatkan terlalu mahal untuk menyara kehidupan dia dan suaminya.
"Beras itu cukup untuk tampung kami berdua dalam tempoh lebih sebulan. Apabila krisis beras ini berlaku, saya terpaksa beli beras import yang harganya naik hampir dua kali ganda daripada harga RM25 kepada RM39.90.
"Pencen suami tidaklah banyak, sudahlah barang mahal, gula dan minyak masak peket pula susah nak dapat. Ada kedai meletakkan syarat belanja lebih RM30 dulu baru dapat beli barangan ini," katanya.
Wakil pemborong, Noorsyamimi Suhaimi, 22, berkata, kekurangan bekalan beras tempatan bukanlah disebabkan pembelian panik kerana trend pembelian pengguna adalah biasa sebelum krisis beras bermula.
"Semua pemborong menghadapi masalah sama kerana pihak pengilang tidak lagi menghantar beras tempatan sejak beberapa bulan lalu jadi, stok beras ini tiada di mana-mana kedai.
"Ramai pelanggan mula merungut tetapi mereka tiada pilihan terpaksa beli beras import kerana ia satu keperluan," katanya.