Umno Perak beri jaminan tiada lagi lompat parti

Iklan
Saarani (tengah) pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Umno Perak, hari ini.

IPOH - Umno Perak beri jaminan tidak akan ada lagi mana-mana pemimpin sama ada ahli parlimen atau Adun dari negeri ini beralih arah menyokong PH.

Pengerusinya, Datuk Saarani Mohamad berkata, menerusi mesyuarat khas yang dihadiri wakil rakyat Umno negeri dan ketua Umno bahagian hari ini, semuanya menzahirkan untuk terus kekal setia bersama parti di bawah pimpinan Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Iklan
Iklan

"Kesimpulan daripada pertemuan ini, kita bersetuju walau apa pun berlaku, Umno Perak akan sentiasa bermuhasabah diri memperbaiki kelemahan dan terus bekerja kuat.

"Kita punya keyakinan, jika Umno kuat, maka ramai orang akan datang berkawan jadi kita perlu kuatkan parti dan kembali menjadi parti dominan dalam negara ini," katanya pada sidang media di Bangunan Umno Perak, hari ini.

Iklan

Menurutnya, baki tujuh Ahli Parlimen Perak antaranya Datuk Hasbullah Osman (Gerik); Datuk Shamsul Anuar Nasarah (Lenggong) dan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz (Padang Rengas) menyatakan tidak akan meninggalkan parti.

"Selain itu, Datuk Mohd Nizar Zakaria (Parit), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak) dan Ahmad Zahid (Bagan Datuk) dan Datin Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar) juga akan setia dengan Umno,” katanya.

Iklan

Selepas PH menjadi kerajaan, tiga Ahli Parlimen dan dua Adun Umno dari Perak mengisytiharkan diri sebagai wakil rakyat Bebas dan menyokong kerajaan termasuk Adun Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin.

Selain itu, Adun Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi; Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali; Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang) dan terbaru Datuk Seri Hamzah Zainudin (Larut).

Saarani berkata, tindakan Hamzah yang meletak jawatan sebagai Ketua Umno Bahagian Larut sekali gus meninggalkan parti Jumaat lalu, sedikit pun tidak melumpuhkan Umno di kawasan itu.

Menurutnya, hasil pertemuan yang diatur bersama ketua cawangan dan jawatankuasa bahagian empat peringkat, Umno Larut sebulat suara memberi jaminan bahawa hanya Hamzah yang keluar parti sementara ahli lain kekal.

"Regim pemerintah mungkin mengharapkan perkembangan mutakhir ini akan menguburkan Umno, namun ia tidaklah semudah itu, mereka perlu sedar kekuatan parti yang sudah menginjak 72 tahun ini datangnya dari akar umbi, bukan semata-mata daripada pemimpin yang datang dan pergi.

"Sehingga Oktober lalu, ahli Umno di Perak sudah mencecah lebih 310,000 orang, takkanlah disebabkan seorang ini, kita nak abaikan yang lain, kita sudah semak dengan jawatankuasa perhubungan, ahli di setiap bahagian lain juga menyatakan akan kekal bersama kita," katanya.

Beliau turut menyatakan rasa kesal apabila ada kalangan pemimpin Umno bersikap mengadu domba dan menghasut dengan menjanjikan sesuatu hingga akhirnya menyebabkan beberapa ahli sendiri meninggalkan parti.

"Kita minta mereka hentikanlah usaha-usaha jahat ini, kita juga harap pimpinan majlis tertinggi parti membuat keputusan dan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pemimpin Umno yang bertindak sebagai duri dalam daging dan gunting dalam lipatan seperti ini," katanya.