'Buggy' guna tenaga solar inisiatif kurangkan pelepasan karbon

Iklan
Tengku Amran (tiga dari kanan) menyempurnakan majlis pelancaran kenderaan 'buggy' tenaga solar di Kemaman pada Selasa.

KEMAMAN - Anak syarikat Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad), EPIC Solar Sdn Bhd (ESSB) menghasilkan kenderaan 'buggy' menggunakan tenaga solar hasil kerjasama strategik bersama Kolej Universiti TATI (UC TATI) yang dinamakan EPIC Solar Car (Escar).

Projek pembinaan kenderaan inovasi yang menjadi alternatif mesra alam kepada kenderaan konvensional itu dilancarkan dalam satu majlis di sini, pada Selasa.

Iklan
Iklan

Projek yang bermula pada 2022 itu dilaksanakan oleh dua pasukan diketuai Pengurus Besar ESSB, Fuaad Mohamed Nawawi dan Ketua Penyelidik UC TATI dan Escar iaitu Dr Ruzlaini Ghoni.

Menurut Fuaad, pada peringkat awal ia dirangka untuk kegunaan operasi di Ladang Solar ESSB, dengan rancangan untuk memperluaskan penggunaannya ke kawasan pangkalan bekalan Kemaman serta sebagai kenderaan pelancongan.

Iklan

Katanya, pelaksanaan projek tersebut bertujuan untuk mempromosikan pembangunan mampan dengan mengurangkan pelepasan karbon dan mempromosikan tenaga boleh diperbaharui.

"Projek ini masih di peringkat penyelidikan bagi meningkatkan kapasiti dan ciri-ciri sedia ada seperti pemantauan masa nyata bateri dan sistem Penjejakan Penentududukan Global (GPS).

Iklan

"Inovasi ini mengguna pakai tenaga elektrik yang disimpan dalam bateri di mana tenaga tersebut dijanakuasakan oleh tenaga solar, berbeza dengan kenderaan berasaskan petrol.

"Kenderaan ini juga akan membuat pengecasan elektrik secara automatik selagi wujud sumber cahaya matahari, sekali gus membantu dalam penjimatan kos operasi," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Hadir sama bagi menyaksikan majlis pelancaran tersebut ialah Ketua Pegawai Operasi Kumpulan EPIC, Muhtar Suhaili; Pengerusi ESSB, Tengku Amran Tengku Awang dan Pengarah ESSB, Hazri Jusoh.

Dalam pada itu, Muhtar berkata, projek itu dipercayai mampu menjadi satu lagi peristiwa yang bersejarah buat Kumpulan EPIC kerana ia selari dengan saranan kerajaan untuk memulihara alam sekitar melalui penggunaan tenaga solar.

"Ia bertepatan dengan aspirasi EPIC Berhad untuk melakukan transformasi pengoperasian dan pembangunan Pelabuhan Kemaman ke arah menjadikannya sebuah pelabuhan hijau lengkap dengan fasiliti dijanakuasakan dengan tenaga solar dan juga hub digital pintar," katanya.

ESSB dan UC TATI komited untuk menggalakkan pembangunan mampan dan akan terus berganding bahu bagi menginovasi lebih banyak kenderaan berteknologi canggih dijanakuasakan oleh tenaga solar, selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (SDG), khasnya SDG 11 (Bandar dan Komuniti Mampan) dan SDG 13 (Tindakan Iklim).