KUALA KRAI - Anggota bomba yang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres dua tingkat di Kilometer (KM) 81 Jalan Lipis-Merapoh dekat Kampung Kubang Rusa merupakan seorang yang pemurah dan ramai rakan.
Kakak kedua mangsa, Norbi Mat Nor, 58, berkata, adiknya, Allahyarham Mohd Shukri, 55, sempat membeli durian kunyit untuk dinikmati ketika mereka berkumpul di sebuah kebun buah-buahan kira-kira tiga minggu lalu.
Menurut Nordi, 'kenduri' buah-buahan bersama keluarga di kebun itu juga merupakan pertemuan terakhirnya bersama Allahyarham dan dia tidak menyangka adiknya pergi meninggalkan mereka.
"Itulah kali terakhir saya bertemu arwah, ketika itu dia tidak menunjukkan sebarang perubahan kerana sikapnya yang sentiasa bersahaja," katanya ketika ditemui di rumah Allahyarham Mohd Shukri di Guchil pada Rabu.
Norbi yang tinggal di Kampung Raja, Besut berkata, Allahyarham Mohd Syukri menjadi idola kepada ahli keluarga lain yang turut berminat untuk bertugas sebagai bomba.
"Empat lagi ahli keluarga yang menceburi bidang itu ialah dua adik kami serta sepasang anak kembarnya yang berusia 24 tahun," katanya.
Norbi berkata, dia mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan adiknya yang tinggal di Kuantan, tetapi ketika itu dia tidak yakin dan terus menghubungi seorang lagi adik di Kuala Lumpur.
"Saya seolah-olah bermimpi kerana tidak percaya dengan pemergiannya sehingga ditenangkan adik dan anak-anak," katanya.
Sementara itu, rakan Allahyarham Mohd Shukri yang juga berkhidmat di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Rosli Kadir, 53, turut mengakui terkejut menerima berita itu.
Menurutnya, Allahyarham dijangka bersara pada Januari tahun depan.
"Kami memang rapat ketika dalam latihan dan bertemu di BBP Kuala Krai kerana saya ditukarkan di sini.
"Kami sempat makan bersama Isnin lalu di sebuah kedai dan berbual seperti biasa kerana arwah juga tidak menunjukkan sebarang perubahan," katanya.
Jenazah Allahyarham Mohd Shukri dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kenor selepas Isyak.
Media sebelum ini melaporkan dalam kejadian awal pagi Rabu itu, dua lagi mangsa yang maut ialah pemandu bas, Ab Aziz Daud, 63, dan seorang buruh binaan warga Bangladesh, Hossain Kamal, 41.
Enam penumpang lain cedera, manakala pemandu kedua, Che Bukhari Che Mat, 39, mengalami kecederaan patah kaki kiri.
Bas yang membawa 18 penumpang itu dalam perjalanan dari Kota Bharu, Kelantan ke Kuala Lumpur.