JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang sah tidak akan beraksi pada temasya Sukan Asia Hangzhou 2022 di China yang secara rasmi membuka tirainya Sabtu ini.
Dalam sidang akhbar khas yang berlangsung di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil sebentar tadi, Azizulhasni berkata, dia terpaksa melupakan misi memburu pingat emas di Hangzhou susulan masalah kecederaan.
"Keputusan ini dibuat selepas saya mengadakan perbincangan dengan (ketua jurulatih skuad berbasikal trek negara) John Besasley, Dr Kamarul (Hashimy Hussein) dan Dr Farrah Hani Imran.
"Dalam keadaan saya masih belum pulih sepenuhnya akibat kecederaan pada bahagian pinggul kiri, kami semua bersepakat adalah lebih baik saya menjalani proses pemulihan buat masa sekarang," katanya.
Pada Sabtu lalu, Azizulhasni telah berkongsi satu rakaman video di laman Facebook miliknya yang menyaksikan dia terjatuh ketika sedang memecut dalam usaha mengejar motosikal di hadapannya di Velodrom Nasional.
Insiden itu pastinya mengejutkan ramai pihak memandangkan Azizulhasni dalam persiapan akhir bagi menggalas cabaran kontinjen Malaysia di bumi Hangzhou yang menjadi penampilan terakhirnya di pentas Sukan Asia.
Malah, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) turut menyandarkan harapan kepada Azizulhasni untuk sekurang-kurangnya membawa pulang satu pingat emas pada temasya Sukan Asia kali ini.
Mengikut perancangan Beasley, Azizulhasni yang terkenal dengan panggilan The Pocket Rocketman akan beraksi dalam dua acara - keirin dan pecut individu.
Pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, Azizulhasni menyambar satu pingat emas dalam acara pecut individu selain turut meraih satu perak (pecut berpasukan) dan satu gangsa (keirin).
Pada Sukan Asia Guangzhou 2020, pelumba kelahiran Dungun, Terengganu berusia 35 tahun itu berjaya menyambar pingat emas dalam acara kegemarannya, keirin.
Dengan ketiadaan Azizulhasni pada temasya Sukan Asia Hangzhou 2022, ia sudah pasti merencatkan misi kontinjen Malaysia dalam pemburuan pingat emas.
Tumpuan kini akan terarah kepada Muhammad Shah Firdaus Sahrom selain kuartet pecut lelaki diketuai Muhammad Fadhil Zonis, Muhammad Ridwan Sahrom dan Umar Hasbullah.
Shah Firdaus dan Fadhil bersama-sama Azizulhasni mencipta kejutan meraih pingat perak acara pecut berpasukan biarpun kali pertama digandingkan.