STOCKHOLM - Pendakwa raya Sweden semalam memutuskan untuk membuka semula siasatan ke atas tuduhan rogol pada 2010 melibatkan Julian Assange yang merupakan pengasas laman pembocor maklumat, WikiLeaks.
"Kes ini akan dibuka semula. Masih ada sebab untuk mengesyaki Assange melakukan perkara itu," kata Timbalan Pengarah Pendakwaan Awam, Eva-Marie Persson.
Kes tersebut digugurkan pada 2017 tanpa sebarang dakwaan ke atasnya berikutan proses tersebut tidak dapat diteruskan kerana Assange masih di London.
Assange, 47, ditahan di Kedutaan Ecuador di London pada bulan lalu selepas Quito menarik balik status perlindungan yang diberikan kepadanya selama tujuh tahun ketika dia cuba mengelakkan langkah ekstradisi berhubung kes rogol tersebut.
Susulan penahanan Assange, peguam mewakili wanita yang terlibat dalam kes itu telah meminta siasatan disambung semula.
Dia juga pernah berdepan pertuduhan rogol kedua yang digugurkan pada 2015.
Assange yang dijatuhi hukuman penjara 50 minggu kerana melanggar Akta Perlindungan Suaka yang diberikan Britain bagaimanapun menafikan kedua-dua tuduhan tersebut.
Dalam kes berasingan, Amerika Syarikat turut meminta Assange diekstradisi ke negara itu berhubung peranannya membocorkan ribuan dokumen sulit dan bahan diplomatik pada 2010. - Agensi