BANGKOK - Seorang bekas ahli Parlimen (MP) di Thailand pada Rabu dilarang menyertai politik seumur hidupnya kerana didakwa melanggar 'standard etika' yang tidak menghormati sistem monarki.
Pannika Wanich, 35, yang menganggotai Parti Move Forward (MFP) telah berdepan siri dakwaan sejak beberapa tahun lalu selepas aktivis itu dikatakan menunjukkan 'sikap biadab' terhadap isu sensitif tersebut.
"Mahkamah Agung mendapati beliau gagal mematuhi peraturan ditetapkan bagi individu yang memegang jawatan politik,” kata peguamnya, Krissadang Nutcharat.
Difahamkan, kes tersebut difailkan oleh aktivis promonarki, Srisuwan Janya bersama Suruhanjaya AntiRasuah Kebangsaan pada 2019 berhubung catatan di akaun peribadi miliknya di Facebook.
Srisuwan mendakwa gaya bergambar yang diambil ketika upacara tamat pengajian Pannika pada 2010 menunjukkan rasa tidak hormat kepada Raja Bhumibol Adulyadej yang memegang gelaran Rama IX.
Dalam perkembangan berkaitan, putera kedua Raja Maha Vajiralongkorn mencadangkan perbincangan terbuka tentang Undang-undang Lese Majeste yang menyaksikan ratusan didakwa.
"Semua orang wajar berkongsi pendapat mereka berdasarkan pengalaman berbeza. Saya percaya mendengar suara hati mereka adalah perkara yang terbaik,” kata Vacharaesorn Vivacharawongse, 42.
Sebelum ini, pengkritik mendakwa undang-undang itu bertujuan menutup mulut penentang monarki. - Agensi