Banjir kilat landa Sepang

Iklan
Keadaan banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di Sepang - Foto Facebook Viral Sepang

SEPANG - Beberapa kawasan di Sepang dilanda banjir kilat susulan hujan lebat bermula kira-kira 1 tengah hari, yang mengakibatkan kesesakan lalu lintas di kawasan terjejas.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pihaknya menerima laporan kesesakan lalu lintas di tiga lokasi iaitu persimpangan lampu isyarat Kota Warisan-Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Jalan Jenderam-Salak Tinggi dan Jalan Sungai Merab-Bangi kira-kira 4 petang.

Iklan
Iklan

"Hasil pemantauan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Sepang mendapati banjir kilat menjadi punca kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan, banjir kilat pun surut bila hujan berhenti.

Laman Facebook Sepang Viral turut berkongsi maklumat kawasan terjejas dengan banjir kilat antaranya kawasan perumahan Taman Bunga Raya dan Taman Seroja dan melaporkan banjir telah surut apabila hujan mulai berhenti kira-kira 4 petang.

Iklan

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengenai kejadian seorang lelaki berusia 19 tahun terperangkap di sebuah pondok berdekatan sebuah tasik di Taman Serenia, Sepang kira-kira 4.45 petang.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Dengkil telah digerakkan ke lokasi kejadian bagi membantu mengeluarkan mangsa yang terperangkap akibat limpahan air tasik susulan hujan lebat. - Bernama

Iklan