Saya ragui Idrus akan hadir mesyuarat JKPK - KJ

Iklan
Khairy Jamaluddin ketika dalam Program Podcast Keluar Sekejap yang dikendalikan bersama Shahril Sufian pada Rabu.

SHAH ALAM - Kontroversi berhubung keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi hanya boleh dijawab oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.

Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, beliau turut meragui Idrus akan menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi (JKPK) bagi memberi penjelasan berhubung isu tersebut.

Iklan
Iklan

"Apa perkiraan Idrus untuk membuat keputusan tersebut, kita tidak akan tahu selama-lamanya sebab saya rasa Tan Sri Idrus Harun tidak akan muncul untuk menjelaskan.

Beliau berkata demikian menerusi Program Podcast Keluar Sekejap yang dikendalikan bersama Bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan pada Rabu.

Iklan

Pada Ahad, Pengerusi JKPK, William Leong Jee Keen berkata, pihaknya mengundang Idrus dan Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh untuk terlibat dalam mesyuarat jawatankuasa itu untuk memberi penjelasan berhubung beberapa isu berbangkit pada sidang Dewan Rakyat, bulan depan.

Katanya, jemputan itu adalah bagi membolehkan jawatankuasa berkenaan membuat penelitian menyeluruh berhubung beberapa isu termasuk cadangan memisahkan peranan Pendakwa Raya daripada Pejabat Peguam Negara, selain isu berkaitan keputusan DNAA Ahmad Zahid.

Iklan

Dalam pada itu, ujar Khairy Jamaluddin, selepas Perdana Menteri memberikan penjelasan berhubung isu tersebut di Dewan Rakyat pada Selasa, rakyat kini hanya boleh menuding jari kepada Idrus memandangkan beliau bertanggungjawab ke atas kes itu.

"Jawapan di Parlimen telah diberi, saya rasa tidak ada jawapan lagi yang Perdana Menteri boleh bagi sebab saya rasa beliau tidak akan perhalusi satu persatu hujah-hujah yang diterima oleh Peguam Negara sebab logiknya keputusan dibuat oleh Tan Sri Idrus.

"Saya tidak perlu ceritakan keputusan tersebut, ini memang hak dan kuasa dia sewaktu menjadi Peguam Negara di bawah Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan.

"Maka habislah cerita dan saya tidak campur tangan, itu yang Perdana Menteri cakap,” ujarnya.

Jelasnya, jika dilihat secara umum, Perdana Menteri seolah-olah cuba menokhtahkan isu itu namun akhirnya, rakyat yang menentukan sama ada hendak menerima atau masih tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut.

"Apa yang penting adalah pertamanya, terserah kepada rakyat sama ada hendak percaya atau tidak.

"Kedua, segala-gala kontroversi berkaitan isu DNAA Ahmad Zahid ini adalah atas Tan Sri Idrus Harun sahaja, selagi beliau tidak cakap apa-apa kita tunding jari kepada beliau sahaja,” jelasnya.