Kasim Samat calon PN di Pelangai

Iklan
Kasim (depan) ketika diumumkan sebagai calon PN oleh Tuan Ibrahim (kiri) di Simpang Pelangai dekat Bentong pada Rabu.

BENTONG - [DIKEMAS KINI] Faktor anak tempatan menjadi pilihan Perikatan Nasional (PN) apabila sekali lagi memilih Naib Yang Dipertua Pas Kawasan Bentong, Kasim Samat, 62, sebagai calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, pada 7 Oktober depan.

Kasim atau lebih dikenali Cikgu Kasim diumumkan oleh Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pada Majlis Pelancaran Jentera PRK dan pengumuman calon di Simpang Pelangai, di sini pada Rabu.

Iklan
Iklan

Sebelum ini, Cikgu Kasim pernah bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi kerusi sama.

Ujar Tuan Ibrahim, Pas menerima tiga nama untuk dipilih sebagai calon dan dibawa kepada Majlis Syura Ulama parti itu.

Iklan

Menurutnya, dari segi syarie, Majlis Syura Ulamak mendapati ketiga-tiga nama itu layak lalu parti mempertimbangkan yang terbaik daripada kalangan mereka.

"Lalu parti bincang semua terbaik, siapa hampir dengan pengundi sebab dia nak jaga rakyat. Jadi kita pilih calon dari Pelangai yang bergelumang dengan tuan-tuan, bukan yang lahir di sini tetapi duduk di Kuala Lumpur atau tempat lain.

Iklan

Beliau juga yakin dengan senario politik pada masa kini, PN dapat meraih kemenangan dalam PRK tersebut.

Dalam pada itu, Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, tiada kelebihan kerusi tradisi berdasarkan situasi semasa.

"Berdasarkan pengalaman PRU15, PRN enam negeri sebelum ini, menunjukkan tiada lagi kelebihan kerusi tradisi UMNO, banyak yang dianggap tradisi tak jadi lagi tradisi.

"Pelangai yang sebelum ini kerusi tradisi dan kubu buat UMNO, BN, ia boleh berubah kali ini menjadi kerusi yang dimenangi PN," tambah Saifuddin.

Sementara itu, Kasim ketika ditemui mengakui terkejut dan dalam masa gementar kerana ia satu tanggungjawab berat dalam PRK tersebut.

Namun beliau akur demi parti dan nekad untuk memastikan kemenangan PN bagi kerusi terbabit.

"Saya bersyukur dan berterima kasih terhadap kepimpinan Pas, PN yang berikan kepercayaan kepada saya buat kali kedua menjadi wakil pada PRK ini dan berjanji bekerja untuk masyarakat di DUN Pelangai," ujar Kasim.