Sekolah di bawah khemah

Iklan
Kira-kira 32 khemah tradisional didirikan untuk dijadikan sebagai sekolah sementara di Asni.

ASNI - Di kawasan pergunungan dilanda gempa di Maghribi, Abdessamad El Berd, 13, terpaksa bangun tidur sebelum waktu Subuh untuk melakukan perjalanan agak jauh ke 'bandar khemah' yang kini menjadi sekolah baharunya.

Dia turut ditemani bapanya untuk berjalan kaki sejauh 14 kilometer (km) dari perkampungan Tinghar ke sekolah sementara yang dibuka di bandar kecil Asni di kawasan bencana di selatan Marrakesh.

Iklan
Iklan

"Saya tidak mahu dia terlepas sesi persekolahan. Saya tahu keadaan ini agak sukar buatnya dan tidak tahu sampai bila anak saya mampu bertahan,” ujar Brahim El Berd, 45.

Pelajar sekolah tinggi antara yang menyertai sesi pembelajaran tersebut.

Ketika ini, Kementerian Pendidikan mendirikan kira-kira 32 khemah tradisional di Asni untuk dijadikan sebagai sekolah kepada 2,800 murid dan pelajar terjejas gempa berkekuatan 6.8 skala Richter yang telah meragut hampir 3,000 nyawa pada 8 September lalu.

Iklan

Tenaga pengajar juga berdepan tugas berat untuk memberikan sokongan psikologi kepada golongan tersebut terutamanya mereka yang kehilangan ahli keluarga.

"Saya tidak kisah walaupun terpaksa bersekolah di bawah khemah asalkan dapat bersama rakan-rakan. Saya tidak suka duduk seorang diri lagi kerana ia hanya akan mengingatkan saya kepada gempa itu,” kata Khadija Ait Ali, 17.

Iklan
Sesi perhimpunan diadakan sebelum kelas bermula.

Sementara itu, seorang guru bahasa Perancis, Abdellah Zahid memberitahu matlamat utama mereka adalah untuk memberi sokongan penuh kepada golongan tersebut.

"Kami sedia berkongsi kisah trauma dan cuba menenangkan mereka. Ia sememangnya sesi persekolahan yang mencabar pada tahun ini,” jelasnya.

Hasna Lahdadi juga berdepan situasi yang mana emosi anak lelakinya, Yahia yang berusia 11 tahun terus terganggu hingga kini.

"Saya cuba sedaya upaya untuk membantu dia mengatasi keresahannya. Dia masih takut dengan gempa susulan lebih-lebih lagi rumah kami rosak teruk akibat kejadian itu,” tambahnya.

Waktu bermain bersama rakan dapat melupakan seketika trauma yang dialami kanak-kanak terjejas gempa itu.

Sebahagian besar kanak-kanak dan remaja telah hilang segala-galanya.

Oleh itu, sekolah menjadi tempat untuk mereka berlindung.

Jamal Ait Hmane, 43, sanggup menghantar anaknya ke sekolah yang terletak sejauh kira-kira 100km dari bandar Tamgounsi.

"Saya mahu dia terus belajar kerana ia sedikit sebanyak dapat membantunya untuk melupakan detik hitam tersebut,” menurutnya. - AFP