KUALA SELANGOR - Seorang cef yang mempunyai sejarah hitam bergelumang dengan penagihan dadah bangkit semula menjadi usahawan penternakan kambing dan lembu berjaya, hasil daripada bimbingan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sejak lima tahun lalu.
Mohd Radzi Abu Kassim, 39, berkata, pengaruh rakan sebaya antara menjadi punca dia terjebak mengambil bahan terlarang berkenaan.
"Saya mula menagih syabu ketika bekerja sebagai cef sebuah hotel di ibu negara sekitar tahun 2001.
"Masa itu saya masih muda dan pernah berasa hidup ini seolah-olah kosong dan tidak tentu hala," katanya ketika ditemui di kediamannya di Pantai Sungai Kajang, Tanjong Karang di sini, pada Selasa.
Pada pertemuan itu, AADK membawa petugas media melihat sendiri kecekalan Mohd Radzi mengembangkan perniagaannya selepas tidak lagi terjebak dengan najis dadah.
Menceritakan lanjut, Mohd Radzi memberitahu, sebagai seorang cef waktu itu, dia mengambil dadah kononnya memberi lebihan tenaga untuk bekerja, namun akhirnya menjadi ketagihan melampau.
"Pengambilan dadah sebenarnya memberi kesan jangka panjang dan saya alami sendiri contohnya badan semakin kurus, badan menjadi lemah dan berada dalam khayalan," jelasnya.
Bapa kepada lima anak itu memberitahu, segala-galanya berubah selepas dia tiba-tiba rebah ketika berniaga di bazar Ramadan pada tahun 2018.
"Saya fikir ALLAH sudah beri peringatan dan petunjuk untuk segera berubah, saya bersyukur kerana masih dipanjangkan usia dan tekad bertaubat sebelum terlambat.
"Saya menemui pegawai AADK Kuala Selangor dan menyertai proses pemulihan dadah dan dari situ saya mula sedar untuk perbaiki diri dan meninggalkan aktiviti tidak sihat," jelasnya.
Katanya, dia kini lebih gembira kerana dapat 'keluar' daripada terus dibelenggu seterusnya menjalani kehidupan lebih sihat.
"Saya mengusahakan ternakan bersama abang dan perniagaan kami semakin berkembang serta mempunyai lebih 70 lembu dan 20 kambing termasuk biri-biri ketika ini.
"Secara puratanya, kami menjual lebih 600 kilogram daging sebulan sama ada secara perapan atau melalui tempahan daripada pelanggan," tambahnya.