KLUANG - Minat mendalam dalam bidang kek dan pastri sejak di bangku sekolah menjadi pendorong buat dua sahabat karib untuk mencari rezeki dengan menjual pelbagai jenis kek dan roti.
Megat Amer Haneef Megat, 25, dan Nur Ayuni Abdul Rahman, 25, kini telah pun berjaya membuka sebuah kedai kek dan roti mereka, Tom’s Tweenty di Taman Matahari di sini sejak sebulan lalu.
Megat Amer Haneef berkata, dia dan Nur Ayuni mempunyai minat yang sama terhadap bidang kek dan pastri ini.
"Selepas tamat pengajian Diploma Hotel dan Katering di Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) pada tahun 2015, saya menjadi chef di Kementerian Pertahanan (Mindef) dan pada masa sama, kami ketika itu sudah mulakan perniagaan buat kek dan roti ini secara sambilan di rumah.
"Ketika itu kami hanya ambil tempahan daripada pelanggan secara atas talian dan kebanyakan tempahan dibuat di rumah Nur Ayuni kerana dia mempunyai peralatan yang lengkap dan saya hanya balik ketika hujung minggu sahaja,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, selepas hampir setahun bekerja sebagai chef, dia kemudian mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan pulang ke Kluang sebelum menceburi bidang ini secara sepenuh masa sejak tiga tahun lalu.
Katanya, ketika itu, dia dan Nur Ayuni dapat memberikan komitmen sepenuhnya terhadap tempahan pelanggan seperti buah tangan (door gift), kek pertunangan dan perkahwinan mengikut reka bentuk serta cita rasa pelanggan.
Kukuhkan perniagaan
Nur Ayuni pula berkata, dia yang sebelum ini bekerja di sebuah hotel di daerah ini mengakui bukan mudah untuk mereka mendapat kepercayaan pelanggan memandangkan ramai yang menjalankan perniagaan sama di daerah ini.
Menurutnya, disebabkan persaingan yang agak sengit, mereka perlu memanfaatkan laman sosial dengan sebaik mungkin bagi mempromosikan perniagaan dan produk mereka agar tempahan daripada pelanggan sentiasa ada.
"Kami ambil masa yang agak lama iaitu kira-kira tiga tahun untuk bina keyakinan pelanggan, bila kami rasa mampu nak buat semua kami mula cadang untuk buka kedai untuk kukuhkan lagi perniagaan kami.
"Jadi, selepas beberapa bulan berbincang, akhirnya kami sepakat untuk keluarkan wang simpanan kira-kira RM30,000 untuk membuka kedai Tom’s Tweenty ini pada awal bulan lalu,” katanya.
Menurutnya, selepas adanya Tom’s Tweenty ini, dia mengakui sokongan dan kepercayaan pelanggan terhadap produk keluaran mereka semakin bertambah terutamanya kepada pelanggan Melayu yang mementingkan status halal.
Katanya, mereka juga sudah berjaya mempunyai produk mereka sendiri iaitu makaron, pavlova, brownies, meringue kisses selain menghasilkan 19 pelbagai jenis roti setiap hari.90 peratus produk sendiri Megat Amer Haneef turut berkata, kini kebanyakan produk yang dijual di kedai mereka iaitu hampir 90 peratus merupakan produk air tangannya dan Nur Ayuni sendiri.
Katanya, ada masanya dia bersama Ayuni akan menyiapkan sebanyak 50 bekas kek sehari terutamanya ketika hujung minggu dan cuti sekolah selain sambutan hari-hari tertentu seperti Hari Guru dan Hari Ibu kerana menerima permintaan yang tinggi.
"Kami jual kek pada harga RM10 hingga RM60 sebekas bergantung kepada permintaan pelanggan. Kami turut menerima tempahan kek bertingkat untuk majlis perkahwinan dan setakat ini pelanggan yang paling jauh datang dari Johor Bahru.
"Sempena hari raya nanti, kami ada juga buat kuih raya seperti tat nenas, double chocolate chip, chruncy nestum dan crunch cornflakes cookies bagi menambah pendapatan kami,” katanya.
Pada masa akan datang, dia dan Ayuni turut bercadang untuk menjadikan Tom’s Tweenty ini sebagai kafe di mana pelanggan boleh menikmati hidangan kek dan roti di dalam kedai tersebut selain mahu mewujudkan sistem vendor di kedai mereka.